Friday, December 26, 2008

Sekerap & sekolah penggal baru

Una akan mulakan alam sekolah rendah 2-3 hari lagi. Bersemangat betul dia sewaktu dibawa ke kedai membeli barangan sekolah. Una nak pakai tudung sekolah nanti, azam Una. Dicampur perkakas sekolah Abam Thi beratus juga habis hari itu. Tak ada satupun benda murah sekarang ini. Itu baru 2 orang anak bersekolah. Pakcik boleh bayangkan bagaimana perasaan ibu-bapa yang mempunyai ramai anak yang akan mulakan persekolahan. Anak-anak sekarang mana lagi mahu guna barang recycle. Kalaupun seluar baju abang dan kakak masih elok, tak mahu disentuhnya pakaian itu. Semuanya mahu yang baru. Terkedu bila menatap gambar sahabat lama yang hidup dhaif di Felda LM yang dikirim Haji Lah. Bertambah sedih bila membaca nota ringkas sahabat tersebut yang merayu bantuan rakan-rakan terutamanya untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya. Berapalah sangat pendapatan seorang penoreh ketika zaman meleset begini. Dengar cerita harga sekerap sudah jatuh di bawah 80 sen sekilogram. Itupun hasil kebun dibahagi 2 akibat tindakan kurang bijak ahli keluarganya sendiri mempawah kebun yang tak seberapa kepada orang lain. Sahabat lama Pakcik itu mungkin menghadapi ujian yang sangat berat ketika ini. Didoakan beliau banyak bersabar dan teruskan berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah swt. Insyallah, rakan-rakan yang lain akan membantu.

Monday, December 8, 2008

Aidiladha

Hujan tak henti-henti sejak 2 hari lepas. Air sungai di belakang rumah sudah sampai ke paras tebing. Bimbang kalau kejadian banjir di taman ni berulang. Insyaallah ia tak akan berulang. Aidiladha hari inipun disambut dengan sederhana. Walaupun sederhana, banyak juga juadah raya yang Makcik sediakan. Kali ini Pakcik dapat sedikit bekalan daun palas dari pasar. Cukup untuk sekilo pulut. Nasi himpit kuah kacang juga ada dalam menu. Kuah kacang percubaan kata Makcik. Makcik kata kuah kacangnya ada sedikit kekurangan. Seperti tak cukup bahan katanya. Pakcik kata mungkin halba campur yang kurang, cuba meloyar buruk. Sedar-sedar senduk Makcik sudah melekat atas kepala Pakcik. Pagi tadi semua masjid di MT penuh sesak dengan jemaah. Memandangkan hari hujan, Pakcik memandu jauh sedikit bersolat sunat aidiladha di masjid tepi pantai. Masih ada ruang kosong semasa Pakcik sekeluarga sampai. Bibi Ippo pun tak buat perangai. Tunggu hingga selesai khutbah raya. Makngah dan Pakngah pun mungkin tengah kalut bergerak ke Muzdakifah dan seterusnya ke Mina untuk 4 hari berikutnya. Mungkin tahun ini perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina tak ada apa-apa masalah. Semasa Pakcik dan Makcik ke Mekah 4 tahun lepas, ada sedikit kelewatan pergerakan terutamanya dari Muzdalifah ke Mina. 10 Zulhijjah ketika umat Islam seluruh dunia sebok meraikan aidiladha, jemaah haji di Mina meraikan 10 Zulhijjah dengan penuh keinsafan. Ada yang mengambil waktu paling afdhal ketika Dhuha untuk terus menuju ke jamrah untuk melontar dan seterusnya melakukan tahallul awal. Nasihat tabung haji agar semua jemaah Malaysia keluar melontar pada sebelah malam bilamana suasananya tidak sesesak seperti waktu siang. Terkejut juga bila kakitangan tabung haji memberitahu bahawa kemungkinan akan berlaku hujan lebat dan banjir besar pada keesokan harinya di Mekah dan Mina. Memang kuasa Allah menentukan segala-galanya. Hujan lebat disertai ribut yang kuat menggoncang tiang-tiang khemah. Khabar dari Abang A Galak mengatakan yang beliau tersadai hampir 3 jam di jamrah disebabkan terowong Muassim tenggelam akibat banjir. Maha suci Allah, tanah Mina dan Mekah yang selalunya gersang tiba-tiba ditenggelami banjir. Petang itu Pakcik dan Makcik meredah banjir separas lutut untuk meneruskan ibadat melontar jamrah untuk hari kedua. Kasihan melihat khemah-khemah jemaah yang hanyut di kawasan berdekatan terowong. Alhamdulillah - ibadat haji pada tahun itu cukup istimewa dan kenangan meranduk air banjir untuk melontar cukup melekat dalam ingatan.

Saturday, December 6, 2008

Dr Kegworth


Percutian kali ni agak lain daripada kebiasaan. Maklumlah nak ke UK. Selain belanjanya yang agak lebih, persediaannyapun agak lebih sedikit. Selalunya tak pernah Pakcik membuat booking hotel, kereta dan sebagainya untuk percutian luar negara. Lebih suka menghadapi kemungkinan dan cabaran pada masa itu sendiri. Tetapi percutian kali ini lebih teratur. Terima kasih diucapkan kepada Dr Fandy dan keluarganya di Kegworth (Loughborough) yang sudi merangka itenarary perjalanan sepanjang di UK tempohari. Dr Fandy sahabat lama Pakcik yang bersekolah bersama di SP dulu. Anak kampung yang berlatar belakang lebih kurang sama dengan Pakcik. Mendapat tawaran belajar dan menggunakan sepenuhnya kesempatan itu untuk mencari ilmu dan meneroka kehidupan. Pakcik menamatkan zaman menuntut ilmu akademik secara formal setakat ijazah pertama. Itupun mata Pakcik sudah binau. Dr Fandy terus gigih mendamba ilmu sehingga kini. Sudah bergelar doktor, namun masih terus gigih belajar mencari ilmu. Bakal menamatkan PhD nya sedikit masa lagi. Dulunya amat gemar subjek kimia. Kalau setakat nak membentuk gas ammonia, tak perlu ke makmal kimia. Di mana-mana saja beliau mampu menghasilakn gas ammonia mahupun hydrogen sulphide (H2S). Pakcik dan Dr Fandy dulunya sekelas untuk subjek Bahasa Inggeris. Kami antara pelajar yang kurang mahir dalam BI sehingga ditempatkan di kelas tercorot di sekolah semasa di Tingkatan 1 sehingga 3. Dr Fandy rajin membaca. Kalau ada kerja rumah BI, maka Dr Fandylah tempat kelas kami merujuk. Untuk menunjukkan teruknya Bahasa Inggeris Pakcik, semasa SRP Pakcik berjaya menapat 7A1, 1C3. Yang C3 itulah Bahasa Inggeris. Itu kira bernasib baik belajar serba sedikit daripada Dr Fandy. Jika tidak, mungkin 7A1, 1C6! Semasa di Tingkatan 4 dan 5 pun Pakcik dan Makcik sekelas dengan Dr Fandy. Pakcik berbangga apabila Dr Fandy terus gigih belajar hingga ke peringkat PhD ini di bumi UK yang pernah Pakcik jejak dulu. Semoga Dr Fandy berjaya pulang dengan kejayaan. Maka bertambahlah lagi sahabat-sahabat Pakcik yang bergelar doktor falsafah seperti Dr Ilias dan mungkin seorang dua lagi yang mungkin Pakcik tak ingat...

Saturday, November 15, 2008

Oxford Street - 8 November 2008


Dalam penerbangan pulang dari Houston, Pakcik transit satu malam di London. Terkenang nostalgia lama hampir 15 tahun lalu apabila tiba buat kali pertama di bumi Inggeris ini. Persinggahan satu malam di London terasa cukup pendek. Berbaki 100 pound yang ada Pakcik cuba merancang apa yang boleh Pakcik buat mengisi masa yang ada. Pukul 8 pagi dari Heathrow Pakcik menaiki Heathrow Connect - keretapi perlahan yang berhenti hampir di enam stesen kecil sebelum tiba di Paddington. Tambangnya pun lebih murah daripada keretapi ekspress. Setiba d Paddington terus Pakcik mengheret beg meninjau-ninjau Bed&Breakfast yang berdekatan. Akhirnya Pakcik check-in di Haven Hotel di Sussex Gardens dengan bayaran 50 pound satu malam. Bolehlah, sekadar untuk transit satu malam. Biliknya amat kecil di bahagian basement. Sujud semasa solatpun terhantuk kepala di penjuru katil. London di penghujung autumn memang cantik. Selesai bersarapan nasi lemak di kantin Malaysian Hall di Bayswater, Pakcik merayap di sekitar Victoria melawat Buckingham Palace dan kemudian menyusuri St. James Park menuju Westminter. Melihatkan daun-daun yang banyak menutupi halaman di sepanjang jalanan ke Westminter mengingatkan Pakcik suasana Leeds pada musim luruh dulu. Sungguh cantik. Ingat di hati ingin terus ke Emirates Stadium menonton perlawanan Arsenal menentang MU tetapi mengenangkan pound sterling yang tinggal tak seberapa, Pakcik memilih untuk menonton perlawanan menerusi Sky TV di hotel saja. Pulang ke hotel terus terlelap. Apabila terjaga, perlawanan dah tamat. Selesai jamak taqdim terus Pakcik meneruskan kayuhan kaki ke Oxford Street mencari sesuatu yang mungkin boleh menjadi ingatan dan kenangan di London. Sudah semestinya kedai Clark bersebelahan Bond Street Underground menjadi tempat tujuan utama. Dulu agak kerap Pakcik ke situ mengharapkan Clark ada membuat tawaran istimewa 90% dan sebagainya. Alang-alang sudah sampai di situ kali ini Pakcik membeli beg tangan Clark untuk Makcik sambil membilang pound sterling yang masih berbaki di tangan Pakcik. Takut takut tak cukup untuk membayar tambang keretapi balik ke Heathrow pagi esok....

Tuesday, November 11, 2008

Hollywood - November 2008





Dalam perjalanan ke Florida, Pakcik ambil kesempatan singgah bersantai di Hollywood - Jalan Ampas Amerika. Dari Walk of Fame Pakcik menjelajah sampai ke kawasan Beverly Hills meninjau kawasan rumah-rumah rich-and-famous dan akhir sekali menghabiskan waktu di Universal Studio Hollywood sehingga ke senja. Sempat juga menonton live shooting filem Fast and Furous 4 dan juga soap opera The Desparate Housewives yang kebetulan mengadakan penggambaran pada hari itu. Tergamam Pakcik apabila disapa pelakon handalan Hollywood - Encik Tom Hanks dan juga Encik Kevin Bacon yang berlakon bersama dalam filem Apollo 13. Awak dari Malaysia? Tanya Encik Bacon. Tanpa melepaskan peluang Pakcik terus memetik punat kamera Pakcik mengabadikan gambar Encik Hanks dan Encik Bacon dalam uniform Apollo 13nya. Pakcik turut berkesempatan bergambar bersama Puan Julia Roberts tetapi tak dapat diuploadkan di dalam posting ini sebab itulah permintaan Puan Julia supaya gambarnya tidak diterbitkan untuk tatapan umum tanpa make-up yang sepatutnya. Jadi gambar itu hanya untuk tatapan Pakcik seorang saja. Dalam sepanjang beratus meter berjalan di Walk of Fame itu Pakcik sempat merakamkan beberapa nama besar Hollywood seperti Puan Halle Barry dan Puan Nicole Kidman. Puas Pakcik mencari bintang pelakon pujaan Pakcik iaitu Encik Sean Penn tapi tak kelihatan. Terdetik di hati Pakcik adakah mereka ini membayar sekian banyak duit untuk membeli bintang-bintang itu sebagai mana sebilangan orang kita membayar duit untuk membeli pangkat dan darjat...

Tuesday, October 28, 2008

Selamat Mengerjakan Haji buat Pakngah dan Makngah

Dalam kesebokan tugas, Pakcik mencuri luang yang ada untuk pulang ke kampung meraikan keberangkatan Pakngah dan Makngah ke Tanah Suci pada 2/11 ini bersama KT11. Didoakan semoga Pakngah dan Makngah diberi kesihatan dan segala kemudahan sepanjang mengerjakan ibadat haji. Sentiasalah berdoa agar Allah memberi pertolongan dan bantuan dalam setiap gerak geri di Tanah Suci. Banyak dikisahkan, di tanahair nampak tegap sihat, namun apabila berada di tanah suci tubuh boleh lemah longlai. Begitulah sebaliknya. Di tanahair berkobar-kobar semangat nak mengerjakan ibadat itu dan ini, setiba di Mekah perasaan malas mengalahkan budak 7 tahun liat nak bangun solat Subuh. Di tanahair tak pernah menjejak kaki ke masjid, tetapi apabila di tanah suci diberi ruang yang cukup luas untuk beribadah di raudhah, solat di hadapan kaabah, mencium hajaratul aswad dan melakukan tawaf tanpa sebarang masalah. Sedangkan orang lain bersusah payah nak mendapatkan semua itu. Allah boleh memberi apa saja untuk hambanya. Banyaklah berdoa agar Pakngah dan Makngah tergolong di dalam golongan pilihan Allah s.w.t. dan diberi segala keistimewaan sepanjang berada di sana. Teringat kata-kata seorang Ustaz ketika kursus haji. Untuk mendapat haji mabrur bukan perkara mudah. Jangan ingat kita ke Mekah terus secara otomatik kita pulang dengan haji mabrur. Mengerja fardhu haji umpama mendaftar diri ke universiti dengan matlamat mendapat first class honors. Jika kita belajar di universiti itu secara sambil lewa jangan harap kita graduate dengan first class honors. 3rd class pun belum tentu. Silap silap tak lulus dan terpaksa pula membayar balik biasiswa kerajaan. Begitulah ibadat haji. Jemaah yang betul betul mengerjakan ibadat dengan penuh ikhlas dan tawaduk insyaalah akan diberi ganjaran selayaknya oleh Allah s.w.t. Moga-moga dengan first class honors ataupun haji mabrur. Yang melakukan ibadat secara ala kadar berkemungkinan pulang dengan murka Allah dan tidak mendapat apa-apa. Kami di sini mendoakan agar Pakngah dan Makngah dapat melaksanakan ibadat haji tanpa masalah dan pulang dengan first class honors. Insyaallah...

Friday, October 17, 2008

KT18 - Bhg 3

Sementara menunggu ketibaan 8 Zulhijjah, tarikh untuk bergerak menuju Arafah, Pakcik, makcik dan rakan-rakan sebilik mengambil kesempatan melakukan umrah sunat sebanyak mungkin. Pakcik turut mendaftar diri menjadi tenaga sukarela TH untuk membantu program-program yang dianjurkan TH seperti penganjuran ceramah, ziarah, majlis bacaan yasin dan tahlil dan lawatan menziarahi jemaah yang sakit di hospital. Selain daripada itu antara tugas sukarela yang amat menarik ialah tugasan membantu jemaah Malaysia yang sesat dan mengalami masalah-maslah tertentu. Masalah tersesat jalan dan tak berjumpa jalan pulang ke maktab sudah menjadi lumrah terutamanya di kalangan jemaah yang agak lanjut usia. Apabila terputus daripada kumpulan besar ketika tawaf maka masalah sesat selalunya timbul. Ditambah lagi dengan masalah pengecaman pintu masuk ke masjid dan tak tahu membaca rumi ataupun jawi. Untuk memudahkan perjalanan selalunya dicam pintu mana jemaah memaski masjid dan pintu itulah yang digunakan untuk keluar dari masjid. Tambah rumit apabila jemaah yang sesat tidak membawa tanda kenal diri dan tidak pula mengingati nombor maktab. Terpaksalah sukarelawan membawa jemaah tadi ke maktab-maktab TH untuk mengenal pasti nama dan menyemak maktab mereka melalui komputer. Selepas itu Pakcik an rakan-rakan akan menghantar jemaah tadi pulang ke maktab mereka secepat mungkin. Pernah Pakcik membawa pulang seorang jemaah wanita yang katanya tersesat dalam masjid selama hampir 3 hari - tak jumpa pintu keluar! Dia cuma minum air zam-zam dan menjamah tamar yang dibawa oleh jemaah masjid. Pelik! Seorang jemaah wanita yang lain yang Pakcik temui langsung tak dapat mengingati namanya sendiri apabila tersesat selama satu hari sejak selepas Isyak hinggalah ke waktu Asar hari berikutnya. Kesiah Pakcik lihat dia mundar mandir di laman masjid seperti mancari sesuatu. Rupanya setelah mengikuti rakan-rakan sebilik melakukan tawaf qudum malam tadi dia terlepas daripada rakan-rakannya yang lain. Langsung tak ingat jalan balik. Kad tanda nama pun tak dibawa. Nombor maktab pun tak dapat diingat. Maklumlah baru tiba malam tadi terus ke Baitullah melakukan tawaf. Ketika melakukan tugasan sukarela itu Pakcik sering terbayangkan begitu cekalnya Maktok dulu yang datang melakukan haji pada tahun 1990 tanpa seorangpun peneman. Semuanya dibuat sendiri. Katanya maktab Maktok dulu lagi jauh hampir 2 batu dari masjid. Teruja bila mendengar Maktok bercerita mengenai pengalaman maktok melakukan kerja haji dulu. Pakcik selalu bayangkan makcik-makcik yang tersesat itu macam ibu sendiri. Bila dapat membantu serba sedikit terasa puas dan bersyukur. Pakcik turut menyelitkan nasihat-nasihat yang perlu supaya jemaah-jemaah tadi lebih berhati-hati bila keluar ke masjid atau keluar berjalan-jalan di sekitar kota Mekah.
Seminggu sebelum wuquf Pakcik sudah mengurangkan ibadat umrah semata-mata untuk menjaga kesihatan. Cuma masa banyak dihabiskan dengan beribadat sunat di Masjidil Haram dan melakukan tawaf sunat pada kesempatan-kesempatan tertentu. Kesihatan yang baik amat penting untuk mengharungi hari-hari penting ibadat haji bermula dengan wuquf, melontar dan ibadat-ibadat yang lain. Lagipun seminggu sebelum hari wukuf Mekah sudah diselaputi berjuta-juta manusia yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Masjid sentiasa penuh. Jalan-jalan raya dipenuhi lautan manusia. Semuanya datang untuk menjadi tetamu Allah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Semuanya tidak sabar menanti 9 Zulhijjah untuk berwuquf di Arafah...

Tuesday, October 14, 2008

KT18 - bhg 2

Ikatan ihram terasa macam longgar. Mungkin sebab sudah lama tak berlatih memakai ihram dengan baik. Atau degupan jantung yang membuatkan perasaan begitu gugup sehinggakan ikatan kemas pun dirasakan longgar. Bas bertolak selepas Asar dari hotel di Madinah selepas masing-masing selesai melakukan ziarah wida’ ke maqam Rasullullah. Semua mata jemaah kelihatan merah. Sesiapa yang tak menangis selepas selesai ziarah wida’ agaknya kurang siuman. Berderai air mata Pakcik cuba menamatkan doa ziarah wida itu. Mungkin ini ziarah terakhir? Harapan menggunung agar Allah s.w.t. memberi peluang yang lain untuk kembali menziarahi Madinah. Semua jemaah mengambil peluang berehat di dalam bas sementara menunggu ketibaan di Bir Ali tempat untuk bermiqat umrah haji. Sampai di Bir Ali sebelum Maghrib dan selesai menunaikan solat sunat ihram terus berniat umrah. Pakcik dan Makcik saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Maka bermulalah perjalanan haji Pakcik, Makcik dan jemaah yang lain. Bertalbiah sepanjang malam menuju ke kota Mekah. Ada juga sempat melawak jenaka diselang seli dengan talbiah yang pelbagai irama. Ada yang bertalbiah mengikut rentak lagu Raihan. Sedap juga. Pakcik dan Makcik terus bertalbiah mengambil peluang selagi termampu memuji-muji Allah s.w.t. Bas singgah di satu kawasan kedai makan di tengah-tengah padang pasir sekitar tengah malam. Ramai jemaah turun mengambil kesempatan membeli teh panas dan membuang air kecil. Sejuk menggigil umpama disiram air batu. Pelbagai kerenah dapat dilihat di dalam bas. Kadang-kadang terdengar juga perkataan-perkataan kurang manis keluar dari mulut jemaah yang mungkin kurang berpuas hati dengan sesuatu. Janganlah diharapkan tandas sebersih tandas di R&R di lebuhraya Malaysia. Bas yang berhenti berbelas-belas. Tandasnya tak sampai tiga...Pakcik dan Makcik cuma tersenyum melihat gelagat jemaah lain. Sesekali menjamah bekalan makanan dan minuman yang dibawa dari Madinah tadi. Kasihan melihat makcik-makcik tua yang mungkin sukar untuk bergerak naik turun bas, Pakcik menawarkan diri untuk tolong membeli minuman panas untuk sesiapa yang berhajat. Suka pakcik makcik tu. Bas terus bergerak dan irama talbiah kembali bergema sesudah masing-masing mendapat sedikit tenaga dari teh panas tadi. Menghampiri tanah haram Mekah merupakan pengalaman yang cukup indah. Tak terbayang bagaimana Rasullullah s.a.w. berjalan kaki dari Mekah ke Madinah sejauh lebih 400 km dengan cuaca yang amat sejuk dan mukabumi yang bergunung ganang. Semakin dekat bas menghampiri masjidil haram semakin celik mata memerhati keindahan masjid. Mata juga memerhati sekeliling cuba meneka di mana kawasan hotel yang Pakcik diami ketika datang pada tahun 2001. Lain benar suasana Mekah kali ini. Bas melalui jalan-jalan kecil bersebelahan Masjidil Haram dan akhirnya berhenti di hadapan hotel Mubarak. Khabarnya hotel Mubarak adalah antara hotel muassasah TH yang paling jauh dari Masjidil Haram. Berjalan kaki sekitar 10 minit. OK lah tu – syukur Pakcik dan Makcik. Mungkin disebabkan kami mendapat hotel yang amat dekat di Madinah, maka di Mekah diberi hotel yang lebih jauh. Tapi tidaklah amat jauh dalam perkiraan Pakcik. Lagi dekat berbanding jarak rumah Maktok dengan rumah Hassan Letrik. Pakcik dan lima rakan lain ditempatkan di tingkat 5. Manakala Makcik di tingkat 6. Roommate Pakcik semuanya ahli kelab pencen. Abang Zaini, pencen askar. Pernah bekerja sekali dengan arwah Paklong Bon di Mindef dan sekarang berniaga ubat-ubatan di pasar malam sekitar Sungai Petani. Cikgu Sheikh – cikgu pencen dari Kulim. Cikgu Shahrul – Cikgu English pencen yang pernah berkhidmat dengan ATM. Abang Ramli pun pencen askar yang berhenti awal mengusahakan kebun pisang di Lunas. Abang Talib – pun pencen askar, bertugas sebagai bilal masjid Taman Ria. Semuanya datang mengerjakan haji bersama isteri masing-masing. Terkejut mereka semua apabila mengetahui Pakcik bekerja di syarikat minyak nasional tetapi datang dengan muassasah. Pakcik jawab, buat apa membazir. Lagipun muassasah pun tak jauh bezanya dengan servis pakej-pakej swasta. Berehat sebentar sebelum tutun ke lobby mendengar taklimat dari Haji Yaakub pengurus TH maktab. Dinasihatkan agar jemaah melakukan tawaf qudum sekitar jam 11 malam mengikuti mutawwif TH yang akan membawa semua jemaah ke masjidil haram. Satu lagi pilihan, jemaah boleh melakukan tawaf, sai dan bercukur keesokan paginya sesudah subuh. Pakcik dan Makcik memutuskan untuk terus melakukan rukun-rukun yang lain pada malam itu juga. Tak sabar rasanya untuk kembali bertemu dengan Baitullah. Pakcik diminta rakan-rakan sebilik untuk menjadi sumber rujuk. Semuanya bersetuju untuk mengikut Pakcik dan Makcik pada malam itu untuk melengkapkan ibadat umrah haji. Dari pintu satu masjidil haram sudah dapat dilihat Baitullah yang cukup indah. 7 pusingan tawaf ditamatkan tanpa masalah. Tidak ramai jemaah yang melakukan tawaf ketika itu. Mungkin belum ramai jemaah dari negara-negara lain yang sudah tiba. Sai juga cukup lancar. Sesekali Makcik berhenti meneguk air zam-zam yang diletakkan di tepi-tepi perjalanan Sai dari Safa ke Marwah. Pakcik agak laju bersa’i tetapi memilih untuk mengikut rentak Makcik yang mungkin tak mampu bergerak selaju Pakcik. Itulah nasihat Ustaz Ismail Kamus. Jangan laju sangat sehingga meninggalkan isteri jauh terkebelakang. Lagipun Makcik pernah tersesat 4 jam semasa datang berumrah pada tahun 2001. Ibadat umrah tamat sekitar pukul 2 pagi dengan bergunting dan Pakcik dan Makcik sampai semula ke hotel sekitar 2.20 pagi. Selepas mandi serba sedikit terus terlelap dan bangun semula sekitar 4 pagi untuk turun semula ke masjidil haram melakukan ibadat solat sunat yang lain sementara menunggu waktu Subuh. Walaupun tidur cuma 2 jam, mata tak terasa mengantuk apabila gelojak hati untuk kembali mendekati Baitullah.

Monday, October 13, 2008

KT18

Kalau ikutkan giliran Pakcik cuma boleh berangkat ke Tanah Suci paling awal pada tahun 2012. Bila saja terbaca TH membuka kuota tambahan pada tahun 2004, terus Pakcik tulis surat merayu agar dapat ke Tanah Suci lebih awal. Surat yang ringkas sambil menyatakan 2 alasan mengapa Pakcik ingin pergi ke Mekah lebih awal. Pertama, duit sudah cukup sebelum habis atau dihabiskan. Kedua, Pakcik akan berangkat ke luar negeri untuk tempoh lama. Alasan kedua itu bukan alasan tipu tetapi itulah yang dikhabarkan oleh boss Pakcik ketika itu walaupun attachment ke luar negeri itu ditangguhkan. Gembira tidak terhingga apabila menerima maklum balas positif yang Pakcik dan Makcik bakal menjadi tetamu Allah pada musim haji pada 2004 dengan penerbangan awal - KT 18. Penerbangan KT 18 berlepas dari Bayan Lepas terus ke Jeddah. Ada penerbangan yang lebih awal mendapat keistimewaan terbang terus ke Madinah. Jimat sekurang-kurangnya 5 jam menaiki bas dari Jeddah ke Madinah. Walaupun pernah ke Madinah dan Mekah pada tahun 2001 untuk ibadat umrah, perjalanan haji kali ini lebih istimewa. Perasaan sentiasa gementar untuk melakukan setiap aktiviti dari satu saat ke satu saat. Setiba di Madinah seawal sebelum Subuh mata terus segar dengan pemandangan indah Masjid Nabi. Berehat sebentar di bilik hotel terus ke masjid beriringan dengan Makcik. Makcikpun kelihatan begitu excited dapat kembali ke Tanah Suci buat kali kedua. Seumpama tak percaya diri Pakcik berada di dalam Masjid Nabi. Siangnya rombongan dibawa menziarahi pusara Nabi, dan pusara sahabat baginda bersebelahan Raudhah. Terus ke perkuburan Baqi' menziarahi pusara ahli keluarga dan para sahabat Nabi s.a.w. Aktiviti seharian di Madinah begitu ritual. Pada masa itu, masjid Nabi cuma dibuka seawal 5 pagi, lebih kurang setengah jam sebelum masuk waktu Subuh. Suasana di dalam masjid Nabi sungguh indah dan sentiasa dipenuhi aktiviti halaqah. Kitab-kitab banyak memperkatakan berkenaan aktiviti halaqah yang disuburkan sejak zaman Nabi s.a.w. Budaya itu terus subur hingga sekarang. Pakcik beberapa kali berpeluang ke Raudhah terutamanya ketika off peak di antara Subuh dan Zohor. Sempat juga beriktikaf sepanjang hari dari Zohor ke Isyak terutamnya bila mendapat port yang baik di dalam Raudhah. Menjadi rutin setiap selepas solat Subuh, berzikir Mathurat dan membaca sepotong dua ayat-ayat Al-Quran, Pakcik dan Makcik akan singgah di gerai-gerai kebab bersebelahan masjid nabi untuk bersarapan. Antara Pakcik dan Makcik akan saling menunggu di satu kawasan lapang bersebelahn satu tandas tertutup untuk pergi bersarapan. Bulan 12 cukup dingin di Madinah. Kalau Makcik agak lewat keluar dari Masjid maka menggigillah Pakcik. TH tidak menyediakan sarapan untuk kumpulan muassasah seperti Pakcik dan Makcik. Itu bukan masalah untuk kami. Pilihan sarapan banyak dijual di sekitar masjid dan hotel. Hotel cuma 200 meter dari kawasan masjid. Waktu senggang antara Subuh dan Zohor digunakan untuk ziarah ke tempat bersejarah ataupun kadang-kadang meninjau pasar kurma di sekitar bandar Madinah. Kurma Madinah lebih baik dan lebih murah. Ramai jemaah membeli pelbagai jenis kurma dan pos balik ke Malaysia menggunakan khidmat Pos Malaysia yang disediakan di hotel-hotel. Pakcik juga membeli sepasang lagi kain ihram untuk persediaan ke Mekah melaksanakan umrah dan haji. Selalunya Pakcik akan terus iktikaf di dalam masjid dari Zohor sampai selepas Asar. Jika tidak terlalu mengantuk atau letih, Pakcik akan terus maraton dari Zohor ke Isyak. Jika batal wudhu, bilik air banyak dan dekat pula. Paling seronok apabila tiba waktu solat Maghrib, Isya dan Subuh. Selain daripada azan yang sungguh merdu, bacaan imam di dalam solat cukup sedap. Solatpun rasa lain khusyuknya. Pakcik tak berkesempatan untuk meninjau kawasan perpustakaan masjid Nabi yang dikatakan antara yang paling lengkap. Mungkin lain kali. 9 hari di Madinah rasanya cukup pendek. Debaran selanjutnya bermula. Bersedia untuk bergerak ke Tanah Suci Mekah melakukan umrah haji. Pakcik dan Makcik berniat melaksanakan haji secara tamattuk. Debaran bergerak ke Mekah cukup lain. Perjalanan malam 5 jam dari Madinah ke Mekah juga agak mencabar. Dingin padang pasir menusuk dalam ke tulang belulang. Dalam hati tak henti-henti mendoakan keselamatan dan kebaikan untuk semua jemaah...

Saturday, October 11, 2008

Jalanraya

Terkejut besar tadi diberitahu isteri Ustaz Dolah dan anak-anak terlibat di dalam kemalangan jalanraya pertengahan puasa tempohari. Berita itupun disampaikan semasa bersarapan sambil beraya di gerai Sayang Musalmah di Kelemak Perdana. Khabarnya kemalangan yang agak teruk. Unser sudah jadi total lost. Kak Zah dan anak-anak menerima lebih kurang 13 jahitan dan bermalam di wad selama 3 hari. Selepas pekena sebungkus nasi lemak dan roti telor, terus ke rumah Ustaz Dollah. Nampak macam Ustaz Dollah sedang bersiap-siap keluar. Apabila melihat Pakcik dan keluarga sampai, tak jadi Ustaz Dolah keluar. Kesian melihat keadaan Kak Zah. Mungkin trauma acident belum hilang. Ustaz Dolah nampak relaks. Rashid dan Ibrahim, anak Ustaz yang masih kecil sudah boleh bermain tuju kasut. Parut jahitan dimuka agak besar. Mungkin akan ambil masa yang lama untuk hilang. Pakcik sampaikan petua tokwan dulu supaya cuba dapatkan kayu getah yang keluarkan wap atau lendir apabila dibakar. Sapukan lendir tu ke bahagian parut. 2 minggu parut hilang. Itulah yang tokwan buat semasa muka Pakcik berderemen kena mercun semasa darjah 5 dulu. Mustajab! Ustaz Dolah kata tempat berlaku kemalangan tersebut bukannya laluan asing Kak Zah. Hari-hari lalu disitu. Kawasan U-turn yang berlampu isyarat. Dalam kereta pulang ke rumah Pakcik berkongsi pengalaman dengan Makcik berkenaan risiko memandu. Seringkali kemalangan berlaku ditempat yang menjadi kebiasaan kita. Pakcik sudah beberapa kali hampir melanggar atau dilanggar semasa di lampu isyarat terutama semasa lampu bertukar dari hijau ke kuning. Pakcik hampir melanggar orang semasa mengambil pusingan U tanpa melihat kenderaan yang turut datang dari arah hadapan yang mengejar lampu kuning. Pengalaman Pakcik membrek menyereett di simpang Honda Simpang Empat paling diingati. Angkara mengejar lampu kuning Pakcik hampir-hampir merempuh motosikal yang membelok ke kanan. Selepas itu Pakcik selalu mengambil sedikit masa memerhati ke semua arah sebelum menekan minyak walaupun ketika giliran lampu hijau. Ada ketikanya kenderaan di belakang bising kerana Pakcik lembab bergerak. Mungkin orang belakang itu belum mempunyai pengalaman seperti Pakcik. Memandu harus sentiasa beringat. Secermat mana kita memandupun, risiko kemalangan kadang-kadang datang daripada cara pemanduan orang lain. Tokwan terkenal sebagai penunggang yang cukup cermat. Tetapi angkara kegopohan pemandu lain, kemalangan yang meragut nyawa Tokwan berlaku. Paklong juga terkenal sebagai pemandu yang cukup berhati-hati. Hinggakan Proton Saga yang berusia hampir 20 tahun khabarnya masih baik. Tetapi kemalangan yang meragut nyawa Paklong juga disebabkan "reckless driving" pemandu lain. Berhati-hatilah ketika memandu. Dan sentiasa alert dengan keadaan sekeliling yang boleh menimbulkan risiko kemalangan. Yang selebihnya, Allah yang maha berkuasa.

Sunday, October 5, 2008

Perantau pulang beraya

Lama juga cuti raya tahun ini. Tapi masih rasa tak cukup lama. Tak semua rumah saudara mara, sahabat handai dapat dikunjungi. Pakcik balik ke kampung pada hari Ahad. Sempat bermalam di rumah Paklang malam Ahad sambil berbuka puasa dan bertarawih di Rawang. Isnin dan Selasa dihabiskan dengan aturcara domestik. Hujan tak berhenti selama 2 hari di Kedah sehingga menyebabkan daerah Yan bah. Abam dan sepupu-sepupu yang lain tak henti-henti berdoa supaya hari raya tak hujan. Dapatlah pusing keliling kampung kutip tol. Kalau hujan sudah tentu revenue akan drop pada tahun ini. Pakcik sempat singgah di pekan Kuala Ketil pada hari Selasa, hari terakhir umat Islam membuat persediaan menyambut hari raya. Kuala Ketil jem dipenuhi kereta-kereta anak perantau. Suasana yang mungkin tak pernah dibayangkan 10, 20 tahun yang lalu. Bukit Selambau tak seteruk Kuala Ketil tapi pekan BS juga dibanjiri kereta-kereta berplate luar Kedah. Pakcik terserempak dengan 2,3 orang kawan-kawan lama yang sudah berpuluh tahun tak jumpa. Tok Arab Toksiak sudah jadi usahawan berjaya sekarang ini. Budin Tok Aris beraya di rumah mertua di Trengganu. Malam raya di Teloi seperti biasa - macam suasana perang di Bahgdad. Pakcik rasa orang yang lemah jantung jangan sesekali singgah di Teloi pada malam raya. Pak-pak budak semua seolah-olah hilang akal pada malam raya. Mercun bola yang bunyinya seakan-akan C4 sudah jadi mercun trademark di kalangan orang Teloi. Sesiapa yang ada bayi kecil bersiap sedialah dengan ear-plug untuk disumbat ke telinga bayi. Raya setahun sekali. Dentuman mercun dan meriam menjadi petanda esok raya. Sesekali nampak Pak Mid keluar rumah memberi amaran untuk budak-budak memperlahankan dentuman mercun. Akhir sekali kelihatan Pak Mid pun keluar cucuh mercun sekali. Macam-macam jenis mercun dicucuh pada malam raya. Sesekali kelihatan percikan bunga api seakan-akan di Putrajaya atau yang selalu kelihatan di KLCC atau A'Famosa. Mahal bunga api jenis itu. Bersinar-sinar langit Teloi. Kadangkala suara takbir dari masjid tenggelam dengan dentuman mercun dan meriam. Meriam karbaid @ meriam tanah sesekali turut sama didengar berdentum kuat. Itupun barangkali dicucuh oleh veteren-veteren Teloi yang pulang beraya. Tak mungkin generasi baru Teloi mahir dalam seni membuat meriam tanah seperti itu. Skil seumpama itu memerlukan seliaan jurutera meriam tanah seperti Pak Jon Tok Aris dan Edd Kak Jaq. Syukur apabila tak pula didengari apa-apa kejadian buruk terjadi kepada anak-anak Teloi sepanjang kemeriahan membakar mercun. Cuma rungutan yang biasa didengar ialah harga daging yang tiba-tiba melambung. Sekilo daging RM20. Tulang dada RM16 sekilo. Dengar cerita Mat Yani Tokmat Dagin masih mengekalkan harga lama. Daging cuma RM18 sekilo. Daging Teloi antara yang mahal. Radio Kedah.FM pun turut memperkatakan mengenai harga daging yang tinggi. Ada sesetengah tempat RM24 sekilo. Nampak gaya cicah ketupat dengan gulai ikanlah gamaknya. Yang pasti pulang beraya kali ini agak mahal. Dicampur dengan harga minyak petrol yang tinggi, mungkin ada selepas ini yang terpaksa makan nasi himpit cicah kuah kacang selama sebulan lagi sementara menunggu gaji bulan depan.

Wednesday, September 24, 2008

Penghujung Ramadhan

Sepatutnya Pakcik dah berlepas ke US minggu lepas untuk melawat kilang di sana. Kebetulan tempat yang Pakcik sepatutnya pergi dilanda ribut dan taufan. Pakcik tak jadi berangkat ke sana bukanlah disebabkan oleh faktor cuaca itu tetapi disebabkan masalah visa yang diperolehi agak lewat. Walaupun begitu Pakcik tetap bersyukur kerana terselamat daripada terperangkap di sana akibat taufan besar tersebut. Allah lebih mengetahui dan perancanganNya lebih hebat berbanding kita. Banyak kali juga Pakcik keluar negara pada bulan puasa. Tahun lepas Pakcik berpuasa di Jerman dan Italy selama seminggu. Suka sebab dapat berbuka awal. Pukul 5 sudah maghrib. Tak suka sebab terlepas sahur beberapa kali. Tarawih pun hanya di dalam bilik. Dalam perjalanan pulang dari Italy, Pakcik singgah di Mumbai, India untuk lawatan kilang di sana pula. Sempat bermalam 3 malam di Mumbai. Ramadhan d Mumbai lebih terasa. Masjid sentiasa penuh dengan jemaah. Kebetulan Pakcik berada di Mumbai di penghujung Ramadhan. Jemaah melimpah sampai ke luar masjid. Pakcik diberitahu semakin menghampiri penghujung Ramadhan semakin ramai jemaah masjid. Suasana yang sama seperti d Mekah dan Madinah. Orang mencari Lailatulqadar dan mencari pelepasan dari api neraka Allah seperti dijanjikan di dalam beberapa hadis rasul. Cukup berlainan dengan suasana masjid di tempat kita. Awal Ramadhan cukup meriah melimpah hingga ke luar. Makin menghampiri hujung Ramadan makin susut bilangan jemaah. Tak perlulah diupah dengan moreh yang sedap-sedap. Memang begitu tabiat orang kita, lebih sebok dengan persiapan menyambut raya daripaa mencari rahmat Allah terutamanya di penghujung Ramadhan. Mengisi masjid pada malam 10 terakhir Ramadhan belum menjad budaya orang kita. Benda sebegini kadang-kadang tidak sangat memerlukan kesedaran kuat tetapi jika sudah menjadi budaya, masjid akan sentiasa penuh. Lama-kelamaan kesedaran akan datang. Jika di Masjid Nabawi, makin menghampiri pertengahan dan penghujung Ramadhan, semakin ramai orang bersedeqah dengan pelbagai juadah berbuka puasa. Orang semakin melimpah. Pengalaman berumrah di bulan puasa dulu rasanya jarang benar Pakcik dan Makcik menjamah nasi di hotel. Cukup dengan berbuka di masjid. Kalau selepas maghrib sebok hendak balik ke hotel alamatnya Isyak dan tarawih nanti cuma dapat saf-saf di hujung. Kadang-kadang terpaksa berbaris di saf luar. Harus beriktikaf dari Asar hingga tamat tarawih kalau mahu lokasi yang baik di dalam masjid. Suasana cukup berbeza.
Teringin benar untuk berumrah lagi di bulan puasa. Lebih-lebih lagi umrah di hujung Ramadhan.

Saturday, September 20, 2008

Sup Tulang Tokwan

Dah beberapa minggu Pakcik agak terlewat ke pasar. Dah lama cuba mencari tulang untuk dibuat sup. Sebab terlewat maka yang tinggal pun cuma habuk saja. Susahjuga nak jumpa tulang lembu yang masih berdaging tebal. Asyik-asyik tulang yang betul-betul tulang. Habis dikikis daging tak ditinggal walau setahil. Walau bagaimanapun nasib Pakcik agak baik pagi tadi. Dapat jugak tulang rusuk yang baik dan masih bersalut daging yang tebal. Beli tak banyak, sekilo saja untuk anak beranak. Lepas gian. Semasa membayar duit tulang sempat jugak Pakcik berseloroh dengan abang penjual daging itu. Tebal tulang hari ni. Dia senyum. Mungkin Pakcik sampai agak awal ke pasar dan diapun belum sempat mengikis habis daging di tulang-tulang itu. Berbeza dengan arah Tok Mat Daging Bukit Selambau jual daging. Ada elemen bersedeqah bila bermuamalat. Seingat Pakcik jarang benar Tokwan merungut dengan kualiti daging dan tulang yang dibeli terutamanya ketika musim raya. Sup "gear box" Tokwan selalunya menjadi resipi istimewa malam raya. Straw ais kacang yang dibeli di kedai Paktam atau kedai Tok Abu akan disimpan. Sedut sum-sum tulang mesti berstraw. Tokwan memang suka sup gear box. Aktiviti malam raya memang riuh. Pelik jugak mengapa zaman itu orang masih perlu berteka-teki mengenai tarikh hari raya. Mesti tunggu pengumuman TV atau radio. Tak macam sekarang, kalendar kuda pun sudah memberi tarikh tepat hari raya. TV cuma formaliti. Itulah hebatnya teknologi dan ilmu pakar-pakar astronomi kita sekarang ini. Bila orang dulu tidak pasti sama ada esok raya ke tidak, itulah yang membuatkan penantian hari raya suatu saat yang cukup suspen dan mendebarkan. Maktok dan Tokwan tidak akan merebus ketupat jawi dan ketupat pulut selagi belum ada kepastian tarikh hari raya. Sup tulang tidak perlu menunggu pengumuman penyimpan mohor besar raja-raja. Sup tulang untuk berbuka puasa. Menu khas di penghujung Ramadhan. Sup tulang Tokwan tidak perlu sup bunjut adabi atau mak siti. Cukup dengan perkakas sup buatan sendiri. Malam itu tanpa menghiraukan pengumuman TV, Tokwan mengetuai sessi berbuka dengan mengirup sup tulang. Selalunya Pakcik akan hirup sup dan sedut sum-sum gear box sampai pening. Malam raya selalunya riuh dan istimewa. Lebih istimewa bila Maktok dapat tahu anak yang jauh separti Paklong Bon akan pulang beraya di kampung.....

Tuesday, September 16, 2008

Puduraya

Tekejut apabila membaca berita penumpang terpaksa membayar tambang bas RM45 untuk perjalanan satu hala dari KL ke SP untuk cuti hariraya aidi fitri ini. Nampaknya perjalanan pulang ke kampung dengan bas ekspress bukan lagi modus yang paling murah. Itu belum dicampur risiko bas tak muncul-muncul di Puduraya, bas rosak di tengah lebuhraya ataupun aircond rosak di sepanjang perjalanan. Bayangkan kalau satu keluarga besar 5-6 orang menaiki bas ekspres. Sudah tentu perjalanan pulang beraya di kampung suatu perjalanan yang amat mahal. Sudah tentu di kampungpun perlukan perbelanjaan. Pengalaman 2 tahun lebih di KL semasa belajar dulu cukup menyeronokkan apabila tiba musim raya. Seawal minggu pertama Ramadhan Puduraya sudah sesak dengan orang ramai membeli tiket. Selalunya Pakcik beli lebih daripada satu tiket. Satu untuk Pakcik, dan yang lain untuk buat biznis. Tunggu di akhir Ramadhan Pakcik akan berkunjung sekali lagi ke Pudu. Kali ini bukan untuk membeli tiket tapi untuk jual tiket. Kalau harga asal RM18, Pakcik akan jual lebih sikit. Habuan kamsen. Duit lebih tu Pakcik akan singgah di Kamdar atau Chow Kit beli kain batik atau kain untuk Maktok. Maktok selalu akan tanya, duit ambik mana? Pakcik kata duit mahasiswa. Tipu sunat. Bila sampai hari raya, Pakcik minta maaf kat Maktok. Tapi mungkin agaknya duit hasil jual tiket tu kurang berkat, pernah Pakcik berpeluh sepanjang malam balik ke Kedah akibat aircond bas rosak. Yang masih Pakcik ingat pengalaman Ramadhan dan perjalanan pulang ke kampung menyambut hari raya ketika zaman belajar di KL dulu cukup manis. Setiap hujung minggu Pakcik tak akan lepaskan peluang berbuka puasa di masjid Jamek ataupun masjid Negara. Kalau ada modal lebih Pakcik akan lajak ke Jeram berbuka di rumah Pak Anjang. Paling dekat berbuka di Seksyen 10 rumah Paklang. Ketika itu Paklong belum berpindah ke KL. Seingat Pakcik tak pernak Pakcik berbuka di rumah Makndak di Kerinci sebab rumah Makndak ramai orang perempuan. Lagipun Makndak masih student masa tu. Tentu menu berbuka di rumah Makndak kurang menarik. Heee...heee....Pernah sekali Pakcik, Paklang dan Maklang merancang nak buat surprise untuk berbuka puasa di Jeram. Sesampai di Jeram rupanya Pak Anjang tak ada di rumah. Maka kami bertiga berbukalah di masjid Jeram yang tak ada orang itu. Mungkin elok jugak sekali sekala balik ke kampung dengan bas ekspres. Tentu Abam, Una dan Bibi-Ipo suka.

Sunday, September 14, 2008

Wednesday, September 10, 2008

Dodol Raya Arwah Tok Munah

Musim mempromosi kuih raya di pejabat datang lagi. Ramai sungguh yang mengambil inisiatif menjual kuih hari raya sebagai mancari pendapatan sampingan. Dengar cerita kuih kacang Kak Ita tukang sapu boleh tahan juga. Suatu hari sebelum puasa ada seorang staff mempromosi dodol Melaka katanya. Harga pun boleh tahan. Mungkin kesan kenaikan harga minyak dulu. Tapi kesedapan dodal makcik itu belum tentu boleh menandingi kehebatan dodol tok munah. Dodol yang terkenal seantero Bukit Selambau. Segenap ceruk Bukit Selambau tahu kehebatan dodol tok munah. Yang menarik, di samping menjual dodol, tok munah turut mempakejkan minyak-minyak angin sebagai barangan sampingan setiap kali mengayuh basikal keliling kampung.

Kalau dodol cukup sinonim dengan tok munah, kuih bakar pula cukup sinonim dengan tokcik tok kasa. Walaupun tokcik tak menjadikan kuih bakar sebagai sumber perniagaan, tetapi setiap kali menjelang aidilfitri, orang BS sering bertumpu ke rumah tokcik membuat pesanan kuih bakar.

Cucur peneram dan karas sudah semestinya milik Tok Sepiah Sidek. Kalau diadakan anugerah cucur peneram dan karas terbaik sudah tentu Tok Sepiah sudah mengungguli carta sekian lama.

Kuih yang sedikit moden iaitu kuih makmur agak baru diperkenalkan di persada kuih-kuih tradisi di Bukit Selambau sekitar 70-an dan 80-an dahulu. Rasanya tak ramai chef-chef hebat yang mampu menandingi kehebatan kuih makmur Kak Tam Cikgu Sop. Dengar cerita sampai ke hari ini keenakan kuih makmur Kak Tam sukar ditandingi. Suatu hari semasa Pakcik disuruh maktok membeli telur ayam Cikgu Sop untuk dibuat baulu, Pakcik ada ternampak Kak Tam dan Cikgu Sop sebok membuat kuih makmur. Yang hebatnya, dengan hanya memakai seluar spenda Cikgu Sop boleh menghasilkan mutu kuih makmur yang cukup tinggi.

Al-fatihah untuk Tok Munah dan lain-lain.

Saturday, September 6, 2008

Ramadhan Datang Lagi

Syukur alhamdulillah diberi kesempatan sekali lagi menemui Ramadhan Kareem. Semoga amal tahun ini melebihi amal-amal baik yang dilakukan pada Ramadhan-Ramadhan sebelum ini.

Unapun sudah mula berpuasa. Tertinggal 2 hari pertama puasa semasa balik ke Kedah. Selebihnya puasa macam orang besar. Tak sebut langsung pasal lapar dahaga. Umur 6 tahun sudah boleh menahan lapar dan dahaga sudah dikira baik.

Harapnya Una tak menggunakan trick yang selalu Pakcik gunakan ketika seusia Una dulu. Setiap kali turun mandi di telaga Pakyob Pakcik akan ambil kesempatan menelan seteguk dua air telaga yang turun dari kepala. Dalam perjalanan balik akan singgah di rumah Bangcha ambil buah jambu sebiji dua. Balik ke rumah berlakon letih...Saat yang paling dinanti-nantikan ialah menunggu detik siren dari balai polis dibunyikan. Sambil-sambil duduk tercanguk di depan rumah diperhatikan apa juadah jiran-jiran sebelah yang akan bertukar tangan. Agar-agar Kak Zizah boleh tahan sedap. Strategi maktok masak kanji seperiuk besar. Separuh dibedak-bedakkan kepada jiran-jiran. Separuh lagi untuk di rumah. Bila sampai waktu berbuka, macam-macam juadah dari jiran-jiran terhidang. Meleleh air liur.

Bila tiba waktu berbuka maktok akan buat announcement, siapa tak puasa sila duduk asing. Aitttt, macam mana maktok tahu ada orang tak puasa? Pakcikkah itu? Tapi setakat buka puasa dengan air halia, duduk asing pun tak apa....Pakcik cuba memujuk hati sendiri.

Haaa...apa kata hari ini buka puasa dengan air halia? Cuba cari jawapan mengapa tokwan begitu gemar air halia di bulan puasa.

Thursday, August 28, 2008

Osman Store - Januari 1985

Kebelakangan ini terasa semacam ada semangat baru untuk menjayakan majlis berbuka puasa untuk rakan-rakan MatJiwa89. Pernah diluahkan hasrat untuk anjurkan program sebegini sejak dulu lagi tapi tak pernah menjadi kenyataan. Mungkin sokongan kuat rakan-rakan lain membantu untuk menjadikan perjumpaan besar ini berjaya. Bukan mudah untuk mengumpulkan kembali rakan-rakan yang masing-masing sebok di merata tempat mencari rezeki. Lebih-lebih lagi setelah berpisah hampir 20 tahun selepas SPM 1989! Bila membelek kembali gambar-gambar lama yang dipaparkan oleh rakan-rakan di dalam MatJiwa89 face book cukup menggelikan hati. Maklumlah gambar-gambar lama sekitar 85-89. Rambut masih banyak. Muka rasanya tak banyak berubah. Cuma gambar sekitar form 1 dan form 2 agak sukar dikenal hatta oleh anak-anak sendiri. Mendaftar diri di MatJiwa pada awal Januari 1985 cukup nostalgik. Masih segar di ingatan tak lelap mata sepanjang malam sebelum berangkat ke sekolah baru. Semua peralatan asas seperti dinyatakan di dalam surat tawaran sudah siap dibeli. Kasut hitam sudah awal-awal lagi dibeli di Kedai Osman stesen teksi. Kasut hitam dipilih sendiri oleh tokwan. Design yang agak lama tapi tetap nice looking. Tokwan sengaja pilih saiz yang agak besar untuk Pakcik. Tahan lama kata tokwan. Pakcik lebih berkenan satu design lain tetapi apabila terpandang tag harga pada kasut itu yang mencecah RM25, hasrat itu dilupakan begitu saja. Walaupun begitu kasut hitam yang tokwan pilih tetap baik dan harganya lebih murah - RM19 sepasang. Barang-barang lain seperti sudah diketahui Osman Store. Tanpa merujuk kepada list barang, Osman Store sudah mencapai beberapa barang yang diperlukan. Dah ramai budak baru Sekolah Sains datang beli di sini katanya. Tokwan buat lawak - kita beli seluar pendek sajalah. Pakcik protes, zaman sekarang orang dah tak pakai seluar pendek. Aurat. Tokwan senyum. Melawak jugak tokwan. Susah nak dengar tokwan melawak. Jumlah harga perkakas sekolah dari Osman Store mencecah RM100. Timba, berus, sabun kita beli di pekan Khamis bisik tokwan. Singgah di Restoran Majidia untuk menjamah roti canai dan teh tarik. Tokwan minta kira berapa yuran yang mesti dibayar semasa pendaftran esoknya? Banyak jugak - sekitar RM200. Itu belum dicampur duit buku tulis dan sebagainya. Cadar putih wajib ke? Pakcik amat faham bila soalan sedemikian disoal tokwan. Beli kemudianpun tak mengapa. Nanti kita singgah di Sekolah Sains tanya kerani pejabat barang apa yang kita boleh beli kemudian. Hampir menitis air mata Pakcik. Airmata ditahan sambil menelan roti canai Majidia yang tiba-tiba terasa kurang garam. Tak apalah ayah, esok saya tanya sendiri. Hari ini tak payah singgah. Singgah di kedai syarikat untuk melengkapkan peralatan yang lainnya. Sabun popinjay 3 ketul, berus basuh, sabun basuh dan sandal asadi untuk prep malam. Bila daftar sekolah, tanya arwah Bang Chik kedai? Esok. Belajar rajin-rajin sambil menghulur RM10 ke dalam poket Pakcik...Tak terlelap mata Pakcik malam itu. Terkenangkan suasana sekolah baru, kasut hitam Osman Store dan juga yuran pendaftaran yang perlu dibayar esoknya. Tak pasti samada maktok dan tokwan dapat tidur nyenyak atau tidak malam itu.

Sunday, August 24, 2008

Hijau Kuning Juara Lagi

Seakan tiada pencabar yang betul-betul mantap untuk menandingi Kedah Hijau Kuning yang sekali lagi muncul juara berganda-ganda bagi tahun kedua berturut-turut. Agak mustahil untuk mengulangi pencapaian hebat tahun lepas. Mungkin anak buah Azrai Kor dan Radhi Mat Din bersemangat untuk menghadiahkan "treble" ini untuk Allahyarham Datuk Ahmad Basri yang meninggal dunia baru-baru ini. Kedah muncul hebat sebagai gergasi baru bolasepak Malaysia sekitar hujung 80-an dan awal 90-an. Selepas gejala rasuah bola melanda negara selepas itu bolesepak Kedah turut jatuh. Ada teori mengatakan setelah Datuk Amad Basri merajuk daripada kancah bolesepak Kedah, mutu sukan itu turut menjunam. Kalau dilihat kecemerlangan Kedah di era Datuk Ahmad Basri menerajui kepimpinan sukan bolasepak Hijau Kuning, sukar untuk menidakkan keupayaan dan pengaruh kepimpinan beliau dalam memaju kecemerlangan pasukan Kedah. Rasanya kalau diberi pasukan apapun untuk diurus oleh Datuk Ahmada Basri, pasukan itu boleh cemerlang. Jurulatih yang beliau pilih untuk melatih pasukannya dipuji hebat. Bermula dengan Cikgu Ahmad Shafie dan kemudian disusuli oleh Robert Albert semuanya memberi impak maksima kepada pencapaian Kedah. Siapa kenal Azrai Kor sebelum ini? Dengan support team yang cukup mantap daripada Radhi, Ahmad Sobri dan Mohamad Romli cukup untuk menghadirkan hormat di kalangan pemain. Mereka melatih dengan rekod cemerlang daam sejarah karier masing-masing. Kalau diserahkan seluruh pemain pasukan Bukit Selambau akhir 70-an dan awal 80-an dulupun mungkin boleh mewakili Kedah dan muncul juara jika diasuh dan dididik Datuk Ahmad Basri dan pasukannya. Orang Bukit Selambau cukup kenal dengan barisan pemain pujaan Bukit Selambau. Bukan setakat pasukan Congers Cikgu Lah yang selalu dibelasah, pasukan Scarborough, Sg Lalang, Sidam, Pantai Cicaq dan pasukan-pasukan lain cukup kenal dengan kehebatan Bukit Selambau. Gol keeper yang mantap dibarisi Malek Tok Ujang dan Mat Bdozer, Paklong Bon, Pak Daud dan Dreser Klinik yang mengawal mantap bahagian belakang, Mud Tok Cha dan Bahari licik di sebelah kanan dan kiri, Non Capek, Harun Tok Mat Echik dan Supersub Lee Tok Som yang terkenal dengan teknik meramas telor lawan sudah cukup untuk mematahkan semangat lawan. Sorakan padu daripada penonton sudah cukup untuk menaikkan semangat pemain. Dengan diketuai Tok Bakar Gunting dan arwah Tok Hassan Kg Perak suasana padang Klinik boleh disamakan dengan suasana Stadium Darulaman setiap kali Hijau Kuning turun beraksi. Tidak pernah disaksikan di mana-mana stadium ketika waktu rehat, pemain-pemain lawan berebut-rebut beratur membeli laksa Tok Siak dan jagung Tok Sidik. Mungkin itulah sebab pasukan BS begitu unggul disebabkan pemain lawan sengkak perut selepas menikmati laksa Tok Siak ketika waktu rehat.

Friday, August 22, 2008

Paris 2008

Kebetulan Pakcik menghadiri mesyuarat projek di Milan baru-baru ini sempat juga singgah di Paris untuk bertemu dengan satu consultant yang berminat untuk menawarkan kepakaran di Malaysia. Paris masih tidak berubah. Cukup indah terutamanya di malam hari. Dari Morgane Hotel tempat Pakcik bermalam boleh dilihat keindahan panorama Arch de Trioumpe dan sepanjang jalan utama menuju ke Eiffel Tower. Pada siangnya dapat juga Pakcik singgah di Eiffel Tower bergambar tanda kenang-kenangan. Agak jauh berjalan kaki ke Musium L'Voure yang terkenal dengan potret Monalisa. Begitu ramai pengunjung muzium tak sama dengan tarikan muzium di Malaysia. Orang Barat sungguh suka mengkaji dan melihat kesan sejarah. Tak cukup satu jam mundar mandir di dalam muzium. Bergambar di sana sini cukup sebagai bukti Pakcik sudah sampai buat kali kedua ke muzium paling terkenal di dunia ini. Kali pertama Pakcik ke Paris pada bulan May 1995 sebagai tanda "honeymoon" tamat peperiksan akhir tahun di Leeds. Namun ia lebih kepada tanda melepas tension selepas berbulan-bulan mengadap nota dan rujukan peperiksan. Apa nak jadi dengan keputusan peperiksan sudah tidak penting lagi. Yang penting pada ketika itu adalah untuk menghabiskan waktu yang ada menjelajah Eropah seluas mungkin. Mungkin tak berpeluang lagi untuk sampai ke Eropah apabila pulang ke tanahair. Paris memang unik. Aturan dan susunan bangunan di tengah-tengah kotarayanya cukup cantik dan menarik. Setiap bandaraya besar yang Pakcik pernah lawati pasti mempunyai sungai utama mengalir di tengah-tengahnya. River Sienne umpama nadi kepada pembangunan dan susun atur kota Paris. Pakcik berpengalaman makan malam di atas bot menyusuri Sungai Sienne. Sungguh romantis. Kalaulah Makcik ikut bersama alangkah indahnya. Bot akan melewati Eiffel Tower dan kelihatan Notre Damme dari kejauhan membuatkan sukar untuk dilukis dengan perkataan. Mungkin jika ada rezeki pada masa-masa akan datang Pakcik akan datang lagi ke Paris. Kali ini mesti dengan Makcik.....

Cerita ENO dan PD8145

Abam ada terdengar Pakcik merungut sendirian tentang baban kenaikan harga petrol baru-baru ini. Antara alasan berpindah ke rumah baru di Masjid Tanah adalah untuk mengurangkan kos pengangkutan. Semua orang merungut minyak mahal. Orang kuat UMNO di taman inipun berpatah arang dengan kerajaan angkara minyak. Mustahil untuk undi dacing lagi selepas ini, katanya. Tetapi selepas mendapat rebet RM625 baru-baru ni sudah lain pula nadanya. Itu baru RM625 kata Pakcik. Senang-senang simpan saja kereta, tunggang saja motor cabuk Pakcik itu berulang-alik ke pejabat. Bukannya jauh cuma 18 km saja. Dulu tokwan sanggup keliling satu Kedah dengan PD8145. Berulang-alik ke Alor Janggus mencari telor itik sudah menjadi kebiasaan. Tiap kali menziarah Toklang Alor Janggus tokwan akan berseorangan menunggang PD8145. Yang lain akan ikut dari belakang dengan Moris Minor Kodet. Sendat kereta Kodet. Rutin harian ke Kampung Perak sudah tidak menjadi hal untuk PD8145. Asal ada pelantar getah yang sering ditangalkan di tepi rumah Tok Hashim urusan mengangkut getah menjadi mudah. Agak pelik kalau tokwan pulang ke rumah bersama pelantar motor itu. Mesti ada projek di rumah yang hendak dibuat. Mungkin untuk gunakan PD8145 mengangkut padi dari bendang belakang pekan. Macam-macam kerja tokwan dan maktok buat mencari rezeki. Amat bermultiskill. Pagi ke kebun di Kampung Perak. Petang pawah bendang. Malam kisar tepung untuk dibuat apom. Sudah semestinya kontrak kisar tepung diagih-agih sama rata di antara Makngah dan Makndak. Orang lain kurang pakar. Tugas Pakcik agak mudah sebagai pembeli ENO. Mesti ENO putih. Maktok amat teliti dengan kualiti kontrol. Pernah Maktok naik angin dengan Paknjang sebab tersalah beli ENO berperisa lemon. Kamsen mau lebih, ENO pun tak tau beli. Leter Maktok. Paknjang seperti biasa akan keluar rumah selepas itu ke kedai Paktam melepas tension akibat leteran Maktok. Bila sampai waktu makan malam, akan diarahkan anak-anak untuk meninggalkan sedikit nasi dan lauk untuk orang belakang. Siapa lagi kalau bukan Paknjang atau sesiapa saja yang belum pulang ke rumah. Mungkin lewat pulang dari mengaji Quran di rumah Kak Puan. Perihatin betul Maktok. Jadual harian Maktok tidak tamat di situ malah terus bersambung dengan aktiviti mengasah pisau motong, menyediakan bahan-bahan untuk dibuat bengkang, apom an sebagainya. Entah pukul berapa Maktok tidur. Esoknya seawak 3.o0 pagi sudah kembali sebok di dapur. Bila Maktok rehat?

Thursday, August 21, 2008

Leeds (3)

Hari pertama sampai di kota London Pakcik sudah diuji. Tiba di Heathrow Airport agak awal sekitar 6 pagi. Bulan September sudah masuk musim luruh. Cuaca sudah agak sejuk. Pertama kali rasa pengalaman asap berkepul-kepul keluar dari mulut bila bernafas. Sejuk-sejuk Cameron Highland semasa ikut rombongan Cikgu Teoh dulu pun tak merasa asap berkepul-kepul begitu. England terkenal dengan cuaca yang tidak menentu. Nasib Pakcik kurang baik sebab cuaca pada hari itu di bawah 10 degree. Agak sejuk walaupun tak sesejuk air telaga Pakyob di pagi hari. Jaket tebal belum dibeli. Berbekalkan blazer coklat nipis itulah Pakcik menyewa teksi seorang diri menuju ke Malaysian Hall di Bryanston Square. Lesap 50 Pound untuk tambang teksi kodok London. Tapi walaupun teksi kodok, agak selesa untuk perjalanan 40 minit menuju ke kota London. Kalau teksi Ah Piau Bukit Selambau belum tentu boleh sampai. Walaupun mata amat mengantuk disebabkan mata yang tak terlelap sepanjang perjalanan dari KL tadi, pemandangan sepanjang perjalanan ke London cukup menawan. Kabut sepanjang perjalanan diserikan lagi dengan bentuk rumah Inggeris yang amat menarik membuatkan Pakcik terasa rugi untuk kejit mata walau sepicing. Alhamdulillah - akhirnya sampai juga ke London. Terus berjumpa pegawai MSD bertanyakan bagaimana untuk meneruskan perjalanan ke Leeds. Ambil bas katanya. Kalau setakat ambil bas UTC 516 dari stesen SP ke Alor Setar Pakcik tahulah. Ini dari London ke Leeds. Dengan beg besar Pakcik merembiang menyusuri jalan-jalan di tengah metropolitan London mencari stesen bas Victoria. Hanya Pakcik seorang saja yang tiba dari Malaysia pada hari itu yang akan ke Leeds. Sesampai di stesen bas terus mendaftar kad pelajar untuk menikmati diskaun tiket. Di sinilah pengalaman manis Pakcik di kota London - tertinggal bas walaupun cuma terlewat 2 minit. Masih teringat Pakcik mencampakkan beg besar ditengah-tengah jalan dan mengejar bas yang bergerak keluar dari stesen. Terpaksa menunggu bas yang selanjutnya. Terbang lagi 32 Pound! Rupanya, sistem pengangkutan di UK amat efisyen. Tepat masa. Ini bukan sistem bas UTC di SP boleh berjalan ikut suka drebar. Nasib baik Pakcik dapat menaiki bas yang berikutnya walaupun terpaksa menunggu hampir 2 jam. Hari sudah gelap. Satu lagi masalah - sampai di Leeds kelak Pakcik hendak menuju ke mana? Hari sudah pasti makin gelap. Ahhh....apa kisah, stesen bas mesti ada bangku panjang. Tidur di situ pun boleh. Orang bukan kenal! Lagipun sudah hampir 2 hari Pakcik tak tidur.

Tuesday, August 19, 2008

Olimpik Beijing

Melayakkan diri ke peringkat suku akhir Olimpik acara pecut sudah cukup untuk membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Perlu dingat, Azizulhasni merupakan satu-satuya wakil Asia yang layak ke peringkat itu. Hampir-hampir Azizul membenamkan Chris Hoy dalam 2 kayuhan di suku akhir tersebut. Apakan daya kudrat dan pengalaman juara dunia 2 kali itu sedikit sebanyak membantu beliau mengatasi Azizul cuma dengan sedikit perbezaan masa. Agak kecewa kerana tidak banyak pendedahan diberikan kepada pelumba muda ini yang bakatnya boleh terus digilap untuk menjadi juara dunia satu masa nanti.
Walaubagaimanapun, tahniah untuk Azizul daripada Pakcik!
Pakcik pernah bercita-cita menjadi pelumba basikal suatu masa dulu. Walaupun cuma berbekal basikal galang yang Maktok beli dari "Aney" rakan se-estet Maktok di Kampung Perak. Terkejut Pakcik apabila pulang dari kelas Quran Tajwid suatu petang dihadiahkan basikal galang tersebut. Basikal second hand, bergalang seperti basikal tua Pakyob dan perpelantar lebar. Mungkin design yang sesuai untuk "Aney" gunakan untuk berulang-alik menjual getah keping. Hadiah dapat 5A kata Maktok! Terus Pakcik jadi begitu sentimental dengan hadiah tersebut. Dengan basikal itulah Pakcik berulang-alik ke masjid BS untuk belajar Quran tajwid selepas itu. Basikal itulah yang Pakcik gunakan untuk merantau sampai ke rumah Akob dan Razak di Pokok Machang. Basikal itulah kadang-kadang membawa Pakcik menjelajah sampai ke Sungai Tok Hassan Sungkop mandi sungai. Jangan terkejut dengan basikal bergalang itulah yang dikayuh Pakcik mendaki gon Thye Hup dan gon Tok Din Seho untuk ke kebun di Kampung Perak. Pada masa-masa tertentu dapat juga memotong bas UTC No 7 semasa menuruni gon 50 relong. Tak ramai yang tahu Pakcik selalu membayangkan Pakciklah yang sedang berkayuh menggantikan Rosman Alwi di Sukan Sea. Walaupun hanya bermodalkan basikal second hand semangat Pakcik tak pernah pudar walaupun kadang-kadang agak cemburu bila melihat rakan-rakan sebaya semuanya berbasikal chopper ataupun sekurang-kurangnya berbasikal mini macam basikal Ckgu Ton Ustaz Ismail. Itulah besarnya kesan hadiah daripada Maktok. Difahamkan Maktok berjaya memujuk "Aney" untuk menjualkan basikal itu dengan harga murah. Itupun dengar kata 2 kali bayar. Terima kasih Maktok!

Friday, August 15, 2008

Setelah 20 tahun tak berjumpa..

Kebetulan Pakcik ada meeting di KL 2 hari. Teringat banyak email dari kawan-kawan lama Mat Jiwa yang serius berbincang untuk buat pertemuan setelah 20 tahun meninggalkan Mat Jiwa. 20 tahun! Lama tu....Terus Pakcik balas email kawan-kawan ajak berjumpa dan minum teh tarik di Pelita Nasi Kandar bersebelahan KLCC. Pakcik susulkan dengan SMS ringkas tengahari Khamis itu mohon kepastian. Mana tahu kalau-kalau semua kawan-kawan sebok dengan tugasan dan tak mampu meluangkan masa ke Pelita. Maklumlah KL. Kalau tak kena masa perjalanan 10 minit boleh jadi 1 jam. terkejut apabila mendapat respon Pak Ijut akan datang. Amin Mamak pun sanggup habiskan meeting KL Sentral secepat mungkin untuk bertemu kawan-kawan. PakDuck awal-awal lagi sudah batalkan perjalanan ke Kedah malam itu. WanHashim agak terperanjat menerima SMS last minit dari Pakcik. Paling tak diduga kehadiran Ismi walaupun pejabatnya paling dekat dengan Pelita. Ismi dikhabarkan amat sebok sebagai orang kuat Citibank. Pakcik seperti biasa - buat-buat sebok hari itu. Board meeting habis awal sekitar 12 tengahari. Sempat makan tengahari dengan Paklang. Juga di Pelita. Paklang datang ke KLCC untuk temuduga kerja baru. Tahniah Paklang kerana memilih kerjaya di syarikat yang menyumbangkan 63% daripada pendapatan keseluruhan kerajaan!
WanHashim orang pertama sampai di Pelita petang itu. Dari jauh tidak sukar mengagak WanHashim. Walaupun rambut depan sudah gondol, imej jejaka sopan masih kekal seperti 20 tahun dulu. Orang besar Public Mutual sekarang ini. Pakcik orang kedua sampai selepas singgah di Plaza Ampang beli Harakah edisi baru. Selepas 3 minit kelihatan Ismi berjalan masuk dengan gaya orang korporat. Kemudian Pakduck muncul. Hampir tak kenal sebab 20 tahun dulu Pakduck ada imej tersendiri yang memberikan dia jolokan Pakduck - mulut muncung! Mungkin dah dibuat plastic surgery...haaa...haaa
PakIjut dan Amin Mamak yang akhir sampai. Dari jauh sudah boleh diagak Pak Ijut. Gaya Ustaz Mail masih sama sampai sekarang. Amin saling tak tumpah macam Amitabh Bachaan. Banyak kisah silam dikongsi. Riuh rendah Pelita Restoran dibuatnya penangan kami 6 orang. Pak Ijut dan Pakduck paling kuat memori mengingati kisah-kisah lucu 20 tahun lepas. WanHashim paling slow. Tak ingat walau seorang kawan-kawan sekelas kecuali Shoba! Apa istimewa Shoba? WanHashim cuma tersengih-sengih tak menjawab. Kapten (B) Halim Komat tak muncul-muncul. Hambali dan Yusrill cuma sampaikan salam. Zubiaq dan Pizi Teng telefon tumpang seronok dan berjanji akan cuba datang ke KL untuk program akan datang. Walaupun pertemuan amat singkat, semua komited untuk jadikan program berbuka puasa 6/9 nanti sebagai pertemuan besar batch SPM89. Semoga pertalian persahabatan yang terputus selama 20 tahun akan bertaut kembali.

Tuesday, August 12, 2008

England (2) - Leeds

Rumah sewa di Wrangthorn Avenue Leeds 6 agak dekat dengan kampus. Berjalan kaki tak sampai 10 minit. Tidak ramai pelajar Malaysia yang menginap di sekitar Leeds 6. Mungkin sewanya agak mahal berbanding kawasan perumahan yang lain terutamanya di sekitar Beeston. Rumahnya agak boleh tahan. 3 bilik untuk kami berempat. Wani (nama seorang lelaki) memilih bilik paling atas. Shila (juga seorang lelaki) dan Kanoq berkongsi bilik besar di bawah. Pakcik dapat bilik tengah. Pembahagian bilik dipersetujui selepas melaui prosess pengundian yang amat adil iaitu macam cabut kut. Sewa sebanyak 300 pound di bayar sama rata. Mr. Husin tuan rumah agak boleh dibawa berbincang. Cuma sekali dia naik angin apabila Shila tersilap bagi cek tendang untuk sewa bulanannya. Tugas memasak digilir-gilirkan. Masak cuma untuk dinner. Lunch dan breakfast tak perlu susah payah. Masing-masing makan di kampus. Nasib baik kami berempat dapat kontrak menghantar nasik bungkus Kak Innah isteri Dr Hassan Basri untuk dijual setiap tengahari di Islamic Centre. Upah sebungkus nasi setiap seorang. Menu makan malam pelbagai. Menu masing-masing sudah boleh diagak. Wani dengan ayam masak merahnya. Kanoq dengan ayam masak kicapnya. Shila pula agak kreatif dalam bab memasak. Mungkin disebabkan hendak mencari kelainan, pernah kami dihidangkan nasik goreng kacang bendi. Habis berlendir nasik goreng. Menu Maghribi kata dia....Pakcik pula memang jenis tak declare dulu apa yang nak dimasak. Apa ada di atas meja dapur habis dicampur adukkan dalam periuk. Janji bau dan rasanya macam lauk. Bila ditanya apa nama menu tu, baru declare. Kalau rasanya macam terlebih halia, haaa...itu namanya halia berperisa ayam. Paling kawan-kawan suka masakan Pakcik apabila Pakcik goreng bihun. Bihun selalunya menu pada hari minggu bila berkesempatan ke kedai Vietnam di Bandaraya Leeds. Tapi sampai hari ni Wani, Shila dan Kanoq tak tau rahsia kesedapan bihun Pakcik. Sedapnya daripada bawang dan sayur yang tak dibasuh....heehhhh..hehh...sorry kawan-kawan!

Monday, August 11, 2008

Tanjung Dawai

Entah apa sebabnya petang itu Tokwan ajak Pakcik temankan dia memancing di Tanjung Dawai. Kebiasaannya tugas juruteman akan digalas oleh Paklang ataupun Paknjang. Mungkin sebab Paklang dan Paknjang sebok main bola 7 sebelah lawan Scarborough. Lepas sembahyang Jumaat kita bertolak kata Tokwan. Pakcikpun tak bertanya banyak. Lagi pun Pakcik suka sebab boleh dengar Tokwan “communicate” dengan Pakcik. Boleh bilang dengan jari berapa kali Tokwan bersembang dengan anak-anak dalam seminggu. Semua “communication” akan melalui orang perantaraan iaitu Maktok. Tapi itu tidak bermakna prosess komunikasi dalam keluarga tak berjalan. Pakcik cuba risik-risik dengan Maktok, apa kena dengan Tokwan hari itu. Maktok jawab – entah…ikut sajalah. Yang peliknya, Tokwan cuma bawak satu “kail bog” saja. Nampak sangat Pakcik jadi tukang tengok ni. Sampai di Bujang Tokwan berhentikan Honda Cub di tepi jalan. Cantas batang buluh buat “kail bog” untuk Pakcik. Pakcik agak sajalah untuk Pakcik sebab Tokwan tak kata apa-apa pun. Apa salahnya “assume” itu untuk Pakcik. Nak tanya suara tak terkeluar. Singgah di Pekan Tanjung Dawai beli udang buat umpan. Baru Pakcik tau, memancing di laut boleh pakai umpan udang. Nak tanya Tokwan sebelum bertolak tadi mengapa tak korek tanah belakang rumah cari umpan cacing? Sekarang baru faham. Sampai di Jeti, terus naik bot nelayan yang berderet tersusun. Kita mengail kat sini saja hari ni, kata Tokwan. Tokwan dengan pantas menyiapkan “kail bog” termasuk “kail bog” Pakcik daripada buluh tadi. Tokwan sangkutkan udang pada pada mata kail dan diikatkan ladung kecil diambil dari peti kecil yang dibawa dari rumah tadi. Macam ni “hawin” kata Tokwan. Sepanjang tempoh menunggu kail di makan ikan, beberapa orang kelihatan bertegur sapa dengan Tokwan. Huhhh….popular juga ayah aku ni…. sampai ke sini pun orang dok tegur Paknjang Naset. Siap bersembang fasal FAMA, baja RISDA dan lain-lain topik. Sempat lagi bermesyuarat kata Pakcik dalam hati. Hampir 2 jam seekor ikan pun tak sangkut. Tokwan ajak solat Asar atas bot. First time ambil wudhu air laut yang di “karau” dari atas bot. Pengalaman baru….Hampir 6.30 Tokwan ajak balik. Ikan cuti kata Tokwan perlahan sambil menghisap cerut cap ikan yang mungkin di "pau" dari atas almari ikan di rumah tadi. Pakcik pun angguk saja. Yelah…hari Jumaat Kedah cuti. Dalam perjalanan balik singgah di Bedong beli ikan duri RM5. Mungkin untuk dibuat masak lada. Sampai di rumah hampir pukul 8 disambut Maktok dengan soalan yang mungkin sudah dijangka Tokwan: “Mengail tadi tak dapat sayoq sekali ka…?”. Tokwan sengeh….hehh…heehh…sambil menyangkut baju jaket hijau di belakang pintu.

Sunday, August 10, 2008

Cikgu Zaharah

Semasa berjalan masuk ke Parkson petang semalam bersama-sama Makcik, Una dan Bibi-Ipo ternampak satu pasangan muda sedang "berdating". Cantik budak perempuan tu bertudung. Si lelaki tu biasalah. Orang BS panggil kutu berahak mungkin...Yang tak manis mata memandang bila terpandang lubang pu*g**k budak perempuan tu akibat baju yang cukup singkat. Pakcik ada 3 pilihan: pelempang budak tu (iman paling tinggi), tegur dengan perkataan (iman rendah sikit) atau tegur dalam hati (iman paling koman @ koman spanar). Pakcik pilih nombor dua. "Adik, pu*g**k adik tak lawa. Spenda pun tak lawa". Merah padam budak perempuan tu. Semoga teguran tadi memberi keinsafan untuk lebih bersopan dan menghormati Islam yang dianuti. Makcik kata bagus...biar padan muka dia....
Masa sekolah rendah dulu Pakcik brutal jugak. Ikut kawan. Asyik rubber jatuh lantai saja. Bukan apa, sambil ambik rubber sambil tengok anak siam pakai spenda kaler apa. Sampailah pada satu hari kena "caught red-handed" oleh Cikgu Zaharah. Setengah jam kena lecture. Tak baik kita sebagai orang Islam buat kerja tak senonoh. Kalau mak ayah mati, dan yang ditinggalkan anak-anak yang tak senonoh amatlah malang mak ayah kamu...Kamu lagilah malang. Itulah kata-kata Cikgu Zaharah yang masih Pakcik ingat sampai hari ini.

Al-fatihah untuk Cikgu Zaharah!

Family-day yang tertunda

Baru-baru ni Pakcik dan Makcik buat majlis tahlil khusus untuk arwah Maktok, Tokwan Naset, Tokwan Teloi, Paklong dan Bangcark. Alhamdulillah 100 lebih datang walaupun jemputan last-minit. Sengaja tak jemput semua ahli keluarga. Jauh nak datang. Lagipun ada rancangan nak buat lagi pada masa-masa akan datang. Mungkin boleh dipilih masa yang baik supaya semua pihak dapat meluangkan masa ke Melaka. Rancangan mengadakan family day tempohari agak tergendala apabila masing-masing tersentak dengan kepulangan Paklong ke rahmatullah secara tiba-tiba. Tahun ni mungkin agak kurang sesuai. Pakngah dan Makngah akan ke Mekah dan mungkin masa yang terbaik ialah ketika cuti sekolah awal tahun depan. Kalau dulu Pakcik ada membuat cadangan pelbagai sukaneka sebagai family games, kali ni Pakcik nak cadangkan supaya ada sedikit kelainan daripada family day dan sukaneka yang biasa dibuat orang. Apa kata kita lawan pelekoh biji getah, lawan toi, lawan tuju biji jangguih dan lain-lain yang pernah popular di BS dulu-dulu.

Saturday, August 9, 2008

Permainan Tradisional

Semasa di Parkson tadi Una ternampak signboard pameran permainan tradisional. Tak sangka pulak Una boleh tanya - selain daripada gasing dan congkak apa lagi permainan tradisional, ayah? Soalan bermutu tinggi tu untuk standard tadika....
Tanpa berfikir panjang Pakcikpun jawab - toi, aci ipong, guli, terbe', caplong dan banyak lagi. Semua permainan tu tak perlu modal. Mungkin cuma main guli kena sikit modal untuk beli guli di kedai syarikat. Satu lagi yang mungkin Una tak boleh nak bayangkan ialah permainan favourite Pakcik - pelekoh biji getah! Biji getah kawin di belakang rumah Langbun (Toklang Embun) cukup mantap. Tapi yang paling pakar pelekoh biji getah sapa lagi kalau bukan Man Tokyop. Seperti dijangkakan....Una terpinga-pinga dengan cerita ayah....

Friday, August 8, 2008

England - September 1993 (1)

Boleh dikatakan semua ahli keluarga turun ke Subang Airport malam itu untuk menghantar Pakcik terbang ke England. Maklumlah, anak Bukit Selambau yang ke-2 yang diberi peluang melanjutkan pelajaran ke oversea selepas Dee Tok Abu. Ada seorang lagi orang Kuala Sin - tapi itu qariah lain. Tak aci. Flight British Airways penerbangan terus ke Heathrow dijangka berlepas 11.55 malam. Tingkat 10 Pulapol menjadi pusat transit sebelum bertolak ke Subang malam itu. Arwah Paklong Bon satu family seawal pukul 7.30 sudah sampai. Arwah Maktok memang bermukim di KL ketika itu. Urusan janji temu dengan Dr Radzi. Makngah dan Pakngah sekeluarga Maksu dan Kak Not sudah sehari meronda KL sementara berkunjung ke Subang. Paknjang bertolak dari Jeram dengan sahabat. Nasib baik lift ke Tingkat 10 Pulapol tak buat hal. Pernah Pakcik dan Paklang kokkong Maktok kerabat 10 tingkat masa lift buat perangai.
Kecut perut juga memandangkan itulah kali pertama merasai naik kapal terbang. Orang cakap naik kapal terbang tingkah laku kena "pedo". Kalau tak tau nak operate punat-punat di dalam pesawat, jangan risau. Tunjuk macho sambil mata kena jeling-jeling penumpang sebelah bagaimana depa buat. Dengan blazer coklat Jusco RM180, seluar RM19 dari Kamdar, kemeja putih RM13.90 dan kasut hitam RM35 dari Pertama Kompleks Pakcik melangkah masuk ke dewan penerbangan dengan penuh emosi. Emosi sebab Maktok mengiringi Pakcik hingga ke gate pemeriksaan. Tak banyak pesan Maktok selain belajar bersungguh-sungguh, jangan tinggal solat dan yang paling sebak - doakan supaya Maktok segera semboh dan sempat bertemu lagi apabila Pakcik tamat belajar. Tapi yang pasti pemergian Pakcik pasti diiringi doa Maktok dan kaum keluarga agar yang terbaik dikurniakan Allah kepada hambaNya ini. Tak tidur Pakcik sepanjang 13 jam penerbangan malam itu. Bukan sebab dok terbayang hidup baru di rantau orang tapi asyik teringat kata-kata Maktok......

Thursday, August 7, 2008

Lewat

Sejak dua menjak ni Pakcik sering saja lewat sampai ke pejabat. Tak molek bila melangkah masuk ke pejabat yang sudah dipenuhi dengan kakitangan yang sudah mula sebok bekerja. Tapi apakan daya hujan lebat pada waktu pagi sering merunsingkan kepala sejak berpindah ke rumah baru ni. Pernah banjir teruk baru-baru ni. Jadi, lewat ke pejabat bersebab. Pastikan dulu air sungai tak naik mendadak dan tiada kebarangkalian banjir melanda.
Tapi lebih molek 'lewat' daripada difitnah 'liwat'.

Kenduri Pak Njang Badri

Paknjang Badri buat kenduri kawin anak dia 17 Ogos ni. Anak yang mana satu tak pasti. Mungkin yang kerja kat PFK Gurun agaknya. Pakcik tak dapat balik. Dah bagitau Makngah Taman Sejati dan Taman Kempas mohon sampaikan salam saja. Dah lama sangat tak jumpa Paknjang Badri dan Mat Khairfan. Rasanya sejak dia dah tak jadi calon PRU-10 tahun 1999 dulu lagi. Orang kuat arwah ayah tu. Kali akhir jumpa Paknjang Badri masa hari raya tahun 1998 rasanya. Satu keluarga 144 Kg Klinik pi berkunjung selepas pergi beraya ke rumah Mak Kiah Pak Yop dan Kak Tam Cikgu Usop. Banyak jasa Paknjang untuk penduduk Bukit Selambau. Masa zaman recession dan penurunan harga getah sekitar awai 80-an, Paknjang ambil inisiatif tanam kacang tanah berekar-ekar. Ramailah penduduk yang merasai nikmat upah cabut kacang termasuklah keluarga 144 Kg Klinik. Kebun betik dekat Jalan Sg Anak Ikan pun memberi banyak peluang pekerjaan kepada ramai penduduk setempat selain penduduk boleh makan betik percuma lepas balik short-cut dari pekan BS melalui Jalan Hj Saad. Haa....keluarga 144 Kg Klinik cukup suka lalu di depan rumah beliau untuk pergi mandi "kolam". Maknjang Saadiah mesti ajak sembang dulu sambil boleh makan betik free. Keluarga 144 masih ingat "kolam" @ sumber air utama di musim kemarau? Untuk ke kolam kita mesti melalui nenerapa check-points. Rumah Bang Zan Ustat Mahmud, rumah Husin Glemek, Mak Su Hj Daud, Paknjang Badri, rumah arwah Bidin dan akhir sekali rumah Pak Leh Ghabit. Paling mencabar ketika menuruni 'gon' dari rumah Pak Leh Ghabit ke kawasa kolam yang agak curam. Kalau timing baik, masa sampai ke kolam terserempak dengan anak-anak dara Bang 'Ad posmen. Huhhh.....mandipun lama sikit...

Tuesday, August 5, 2008

Lambaian Kaabah


Alhamdulillah syukur bila dapat tau Makngah dan Pakngah Taman Sejati akan mengerjakan haji pada tahun ni. Mungkin lepas raya puasa akan dapat tahu bila tarikh penerbangan dan sebagainya. Tentu Makngah dan Pakngah sebok saban minggu menghadiri kursus dan kuliah haji. Amat penting memahami ilmu-ilmu berkaitan ibadah haji dan umrah sebelum berangkat ke tanah suci. Mulai sekarang jaga kesihatan, banyakkan berdoa dan melakukan amalan sunat semoga sepanjang tempoh menjadi tetamu Allah di tanah suci nanti dapat dimanfatkan sepenuhnya. Dan pulang dengan haji mabrur.

Bibi-Ipo menyanyi lagi....

Entah sudah berapa kali Bibi-Ipo mendendangkan lagu A-ayam B-bola petang ni. Dengan te'lo tersendiri dan sambil tersengih-sengih Bibi-Ipo menyanyi sendirian di tepi pagar rumah. Entah apa yang membuatkan sikecil begitu ceria petang ni. Boleh jadi apabila melihat ayahnya pulang awal. Ye lah, 5.40 sudah sampai di rumah. Bukan selalu pulang awal sebegini. Yang pasti saat-saat yang ditunggu mesti tiba. Ayah - jom naik boom boom...

Monday, August 4, 2008

Tarzan Hutan Simpan

Paklang Rawang sampai agak lewat. Sesat sampai ke Sungai Udang katanya. Jauh tu. Maisarah kata dalam perjalanan dari Sungai Udang terserempak dengan Tarzan. Mungkin betul sebab di Melaka ni banyak hutan. Haaa...haaaa...
Maaf sebab Pakcik lewat sampai rumah. Golf game dengan kastam tu lewat habis. Main dah le teruk. Dapat 3 par saja. Dapat lah hadiah tuala. Nasib baik Rawang ada di rumah. Kalau tak dah saheh kena perli dengan Makcik. Haahhh...main setengah hari bawa balik tola saja...
Lepas lunch bawa Rawang minum cendol di Sawit Corner. Fathiah kata kat sini le kitorang jumpa Tarzan tadi pakcik. Apa nak hairan, Tarzan yang tak pakai seluar tu tokey restoran cendol kat situ....

Permatang Pauh

Nampaknya kena minta cuti sempena cuti sekolah ni. Balik kampung sehari dua, sempatlah turun ke Permatang Pauh. Sejarah baru Malaysia mungkin bermula di Permatang Pauh.

Lunch with Abang Edd

Arrived quite late at KLCC. Supposed to meet Wout at 10.30am. Stopped by at Air Paabas for quick breakfast - the best nasik lemak in Alor Gajah and a glass of teh tarik. Abang Edd called at 8.00 am to meet at 11. May be a simple lunch will do. Discussion with Wout was about the same old topic but at least ended up with some promising conclusion and agreement. Finished discussion at 11.40 and went straight to Isetan - apa lagi, window shopping la...

Abang Edd arrived at 12.20. Where to go for lunch this time? level 4? crowded. Ahhaaa...walk a little bit to Bangunan Getah Asli for kar kepala ikan. Hopefully kepala ikan is still available. Had chit chat on mainly politic, Permatang Pauh. Pak Njang Badri invited for Shala's wedding on 17th August. Tak dapat balik. Muktamar di Seremban. Hope Abang Edd had a good time with his younger brother at KLCC.....

My first day blogging - first photo


Alhamdulillah... not that difficult to blog for an IT blind like me..haaa..haaaa...


Bibi-Ipo and Abam must be the luckiest among the family members to have their photo posted to this blog. Senyum sikit Bibi-Ipo....