Sunday, March 8, 2009

Klinik Pillay

Sudah agak lama Pakcik tak ziarah mana-mana klinik. Sudah hampir 10 tahun Pakcik tak pernah ambil MC. Saban tahun sentiasa saja Pakcik mendapat anugerah khas kakitangan yang tak pernah cuti sakit sepanjang tahun. Tahun lepas Pakcik membawa pulang jam dinding. Tahun sebelum itu diberi voucher Pakson hampir RM350. Sebelum itu lagi Pakcik dapat set pinggan mangkuk Corningware. minggu lepas pakcik pecah rekod. MC pertama dalam masa lebih 10 tahun bertugas. Pakcik pun tak tahu klinik mana di kawasan Masjid Tanah ni yang betul betul rasi dengan sakit Pakcik. Setakat demam sikit-sikit selalunya Pakcik cuma telan Panadol. Sejam dua legalah. Tapi 2 minggu lepas lain sikit. Bermula dengan selesema yang tak kering-kering. Mungkin suasana berhabuk di pejabat dan di kilang tiba-tiba begitu sensitif dengan hidung Pakcik. Daripada selesema terus kepada batuk. Terus Pakcik ke klinik di Masjid tanah. Habis semua ubat ditelan tak juga baik. Batuk kuat sudah menjadi rutin setiap awal pagi. Bunyi dengung semasa bernafas kembali mengingatkan Pakcik kepada lelah Pakcik 30 tahun lalu. Tak tidur malam maktok dan tokwan kalau dengung Pakcik menjadi-jadi. Apa agaknya dalam fikiran maktok dan tokwan setiap kali Pakcik semput macam itu. Yang pasti, Pakcik ingat macam-macam ikhtiar dibuat maktok dan tokwan untuk mengurangkan lelah Pakcik. Minyak angin Tok Nun dan minyak akar kayu Tok Munah tak lekang dari penjuru katil. Pernah Pakcik dingangakan mulut oleh tokwan menelan minyak angin burung good-good. Minumlah dulu ubat ni sementara esok pagi - selalu pujuk maktok dan tokwan. Esok pagi kita ke Sungai Petani, jumpa Dr Pillay. Cukup sinonim Klinik Pillay dengan Pakcik. Sudah ingat-ingat lupa lokasi asal klinik Pillay. Kalau tak silap Pakcik, tapak asal klinik Pillay cuma berdepan dengan pejabat LLN @ TNB Sungai Petani. Yang Pakcik ingat selalu berjalan kaki tak jauh dari stesen teksi ke klinik tersebut. Ubat lelah klinik Pillay tak berbezapun dengan ubat-ubat dari klinik lain. Rasa, warna dan harga rasanya lebih kurang. Tapi entah sebab apa Pakcik cukup rasi dengan klinik Pillay. Dengar ceritanya, Pakcik sembuh dari lelah dengan bermacam-macam cara. Paklang dan Makngah selalu mengusik yang tokwan beri Pakcik makan anak tikus masa kecik-kecik dulu. Ada yang kata berkat doa maktok semasa diberi Pakcik minum air embun pagi. Ada yang kata hasil mujarabnya ubat klinik Pillay. Yang Pakcik pasti, sakit demam semuanya kuasa Allah. Kita cuma menguruskan tubuh badan ini supaya sentiasa sihat. Mujurlah semasa Pakcik berjumpa pakar tempohari, katanya Pakcik cuma mendapat jangkitan kuman. Insyaallah, Pakcik tak perlu lagi mencari ubat klinik Pillay katanya. Insyaallah...