Friday, March 27, 2009

Ketiak ayah bucuk...

Masjid Tanah kering lagi. Kerap sungguh masalah ketiadaan air melanda Masjid Tanah. Katanya notis pemotongan bekalan air sudah dicanangkan melalui radio Melaka. Patutlah Pakcik tak tahu. Pakcik mana dengar radio Melaka. Disebabkan terpaksa berjimat menggunakan air untuk sehari dua ini, Una terpaksa belajar mengambil wudhu dengan secebok air. Ambil yang wajib saja. Abampun terpaksa membatalkan program riadhah petang untuk mengelakkan peluh. Jadi tak perlu mandi banyak. Nasib baik jiran yang baik hati menghulurkan bantuan air. Ada juga bekalan untuk kegunaan serba berjimat. Sempat juga Pakcik memberi sedikit tazkirah untuk seisi keluarga selepas solat maghrib berkenaan nikmat Allah swt. Kali ini nikmat air menjadi topik utama. Ada juga hikmah ketiadaan air kali ini. Sekurang-kurangnya anak-anak lebih faham nikmat air dan perlunya berjimat cermat. Belum sempat mengajar dan membuat praktikal istinjak dan tayammum. Mungkin kalau masalah air lebih meruncing pada masa akan datang, Una dan Abam akan lebih faham apa itu tayammum dan istinjak dalam Islam. Pakcik biasa tak mandi. Setakat tak jumpa air satu dua hari masih kira OK buat Pakcik. Dulu di UK pernah dak mandi tiga empat hari semasa musim sejuk. Cuma Bibi Ipo tak tahan dengan Pakcik. Ketiak ayah bucuk sambil mengelak daripada dicempung.

Perbahasan sekolah tadika

Mutu perbahasan perwakilan masih di tahap bebal. Selain kutukan keterlaluan terhadap parti lawan yang sememangnya tidak perlu, cadangan-cadangan yang memualkan cukup merencatkan agenda perbahasan. Apa rasional diusulkan hanya loyalist parti yang boleh diangkat menjadi Naib Cancellor dan jawatan-jawatan penting di pusat-pusat pengajian tinggi? Apakah tidak ada cadangan dan usul yang lebih bangang daripada itu? Sebelumnya, seorang perwakilan menyebut alangkah silapnya parti beliau membebaskan seorang ketua parti lawan dari penjara beberapa tahun lepas. Tak mungkin perwakilan itu tersalah cakap dan tak tahu membezakan di antara bidang kuasa parti politik dan kuasa mahkamah. Tapi apa nak dihairankan. Mungkin perwakilan itu merupakan graduan dari pusat pengajian yang sememangnya berketuakan atau bernaib cancelorkan loyalist partinya yang tak tahu apa-apa....Itulah hasilnya.

Wednesday, March 25, 2009

PWTC

Sudah agak lama Pakcik tak mengikuti perbahasan perwakilan Perhimpunan Agung Parti Melayu baik dalam suratkhabar, internet mahupun TV. Entah macamana pada kali ini Pakcik dan Makcik begitu berminat untuk mendengar dan mengikuti berita dari PWTC itu. Harapan Pakcik agar pengajaran daripada keputusan PRU 2008 dan 2 PRK pada tahun lepas menjadi titik tolak gagasan baru yang bakal melonjak kekuatan bangsa. Harapan menggunung Pakcik agar menjelma rasa insaf dan kesedaran penuh tawadduk untuk mencorak masa depan bangsa dan agama biarpun perlu mengakui kelemahan diri dan memperakukan kelebihan lawan. Apalah kiranya duduk dan dibincangkan permasalahan bangsa, agama dan negara dengan lebih serius dan tegas agar menampakkan iltizam merubah masa depan. Rupanya harapan Pakcik cuma tinggal harapan. Amat kurang jelas apakah gagasan baru yang cuba dibawa. Hinaan kepada lawan masih menjadi bahan perbahasan dan acapkali dijadikan modal jenaka untuk gelak ketawa. Sungguh serius ahli politik mempolitikkan isu sehingga peluang bermuktamar setahun sekali seperti itu tidak digunakan sepenuhnya untuk merencana haluan masa depan negara. Peluang untuk melihat perubahan yang lebih baik dalam negara amat malap jika itulah sikap dan pendirian ahli politik kita. Apalah kiranya, sekali sekala ketepikan sindrom penafian atas dasar memartabatkan keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran negara. Sampai bila kita akan terus hidup dan melayan kerenah politik separa matang dalam kehidupan seharian kita di bumi Malaysia ini...sampai bila?