Friday, October 30, 2009
Una menang lagi
Syukur bila dapat berita Una berjaya menjadi naib johan pertandingan hafazan. Selang beberapa hari Una dan kawan-kawannya menjadi johan pertandingan kuiz pula. Menang kalah adat pertandingan. Yang penting keberanian dan penghormatan yang diberi cikgu untuk Una bertanding. Una semasa kecilnya cukup pemalu. Kalau ke kedai cukup susah nak minta Una bayarkan barang di kaunter. Sekarang tidak lagi. Una sudah berani tampil di khalayak. Sudahpun bergelar johan dan naib johan. Penting untuk kanak-kanak dilatih untuk punyai keyakinan diri yang tinggi. Keyakinan inilah yang membina sikap berani dan berketerampilan. Nilai-nilai inilah yang sering dilihat dan diambil kira hatta di alam pekerjaanpun. Kecemerlangan akademik semata-mata bukanlah lesen otomatik untuk membina karier dan hidup yang baik. Berapa ramai yang lulus cemerlang setiap tahun dan graduat dari universiti dan kolej? Berapa pula jumlah kekosongan pekerjaan? Mengisi peluang pekerjaan di Malaysia amat mencabar dan kompetitif. Majikan lebih berminat untuk memilih calon yang cemerlang akademik dan juga cemerlang dalam ko-korikulum. Watak yang dibina melalui aktiviti ko-korikulum inilah yang banyak membantu survival pekerja dan syarikat. di alam pekerjaan. Pelajar yang terlatih dengan keberanian, kepimpinan dan urus diri yang baik akan memudahkan perjalanan karier seseorang pekerja. Dunia pekerjaan sekarang bukan sekadar mengambil arahan dan melaksanakan arahan. Dunia sekarang lebih menuntut pekerja untuk lebih kreatif dan inovatif untuk bersama-sama menggerakkan syarikat ke depan. Bukan lagi sikap menanti arahan tetapi perlu lebih pro-aktif melaksanakan tugas tanpa perlu menunggu arahan. Ramai pelajar yang belum nampak kepentingan ini. Tapi percayalah, berapa ramai calon temuduga yang gagal disebabkan gagal menampilkan watak yang diperlukan oleh syarikat pada zaman yang serba mencabar ini. Sekarang bukan lagi soal bagaimana syarikat dapat membantu survival kakitangannya, tetapi lebih kepada soal bagaimana pekerjanya dapat membantu survival syarikat. Nampaknya Una sudah memulakan proses pembentukan watak itu...teruskan Una!
Saf
Maghrib tadi bukanlah kali pertama Pakcik berkesempatan solat berjemaah di masjid Taman Melati. Pakcik paksakan diri untuk pulang lebih awal pada malam ini dengan niat untuk sempat berjemaah di masjid itu. Berbeza sekali suasana di sini berbanding kebanyakan tempat yang lain. Masjidnya sentiasa makmur. Maghrib tadi saf lelakinya hampir separuh masjid. Bukan setakat malam Jumaat sahaja masjidnya ramai, malah pada malam-malam yang lain jemaahnya pun ramai juga. Mesti ada yang istimewa dengan ahli qariah di sini. Malam kulaih agama masjidnya penuh melimpah. Begitu tinggi kesedaran dan ilmu masyarakat di sini. Bahagianya menjadi penduduk Taman Melati. Subuhnya walaupun tidak seramai maghrib dan isyak, masih juga empat lima saf. Ramai juga. Sebelum berkumandangnya azan waktu maka suasana sekeliling akan dihidangkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci yang sungguh merdu. Pengurusan masjidnya nampak begitu teratur dan profesional. Imamnya lulusan Al-Azhar. Malah bilalnya juga seorang hafiz. Bacaan imamnya mirip Sheikh Abdul Rahman Sudais. Biarpun separuh juzuk dibaca dalam setiap rakaat pertama dan kedua solat, makmum kelihatan cukup kusyuk. Terasa suasana di Masjidil Haram ataupun di Masjid Nabawi. Berbeza sekali di kampung-kampung dan beberapa tempat lain. Masjid dan suraunya hambar dan kosong. Kalau bilalnya cuti tak mustahil tak berkumandanglah azan di masjid itu. Jika imamnya tidak hadir ke masjid, saling tolak menolaklah makmum untuk menjadi imam. Bukan atas alasan tawaduk dan merendah diri untuk tidak menjadi imam, tetapi ayat apa hendak dibaca nanti, tajwidnya bagaimana, rakaatnya entah betul entah tidak. Begitulah ketaranya perbezaan suasana, masyarakat di tempat yang berbeza. Orang kota selalunya dikaitkan dengan sebok dan kesuntukan masa. Tetapi suasana masjidnya jelas berbeza. Mungkin juga Allah memberi serba kelapangan kepada hamba-hambanya yang sentiasa kelihatan sebok dengan urusan dunia untuk mendapat luang dan ruang beribadat dengan penuh sempurna selagi hambanya itu ikhlas untuk sentiasa menghambakan diri untuk Tuhannya.
Wednesday, October 28, 2009
Ottawa
Pagi tadi kerani di tempat kerja Pakcik ingatkan Pakcik supaya segera membuat claim ke Ottawa tempohari. Baru Pakcik teringat rupanya claim belum dibuat. Patutlah duit dalam akaun susut banyak. Rupanya duit yang keluar belum diganti. Lawatan kerja ke Ottawa tempohari cukup menarik. Selain ianya merupakan kali pertama Pakcik menjejakkan kaki ke Kanada, musim luruh yang menanti kehadiran Pakcik ke pusat pentadbiran Kanada itu cukup meninggalkan kenangan. Kanada sinonim dengan daun maple - lambang kebangsaan negara Kanada. Di sepanjang jalan pokok-pokok semakin membogel. Jalanan penuh diturap daun maple. Seluruh bandar dan desa berlatarkan musim luruh. Cukup cantik. Sayang sekali Pakcik tak ada kamera yang baik. Jika tidak sudah pasti keindahan musim luruh di Kanada itu dapat Pakcik abadikan secara lebih artistik. Keindahan musim luruh di Ottawa mengingatkan Pakcik kepada musim luruh di UK. Leeds cukup indah pada musim luruh. Walaupun tulip banyak mekar pada musim bunga dan musim panas, itu belum cukup memberi keindahan sebenar kepada Leeds. Daun yang gugur yang memenuhi lantai dan tanah cukup untuk memberi gambaran indahnya autumn season di Leeds. Bayangkan pokok setinggi dan sebesar pokok balak boleh dogol dan cuma tinggal beranting. Seluruh daun gugur menutupi bumi. Awal musim luruh lebih indah ketika daun masih kekuningan sebelum bertukar kering. Cuaca musim luruh juga cukup enak. Cukup sekadar baju sejuk nipis. Ke sana ke sini masih bebas tak menggigil seperti musim sejuk, tak sehangit musim panas. Serba serbi indah. Kalau Pakcik orang seni, sudah banyak karya seni Pakcik lahir pada musim luruh. Apakan daya, Pakcik orang sains. Cuma mampu memerhati dan mengkagumi kekuasaan Tuhan tanpa mampu menterjemah ke dalam karya seni hebat. Yang pasti email Pakcik kepada Makcik di Pennsylvania pada musim luruh mungkin lebih romantik dari kebiasaannya. Mungkin. Sesungguhnya, Ottawa kembali mengungkit kenangan lama.....
Dah lama...
Ramai bertanya kemana Pakcik menghilang. Dah lama blog tak diupdate. Kawan lama Pakcik yang ditemui semasa reunion sekolah tempohari turut bertanya perkara yang sama. Tak sangka pulak Pakcik rupa-rupanya rakan-rakan sekolah turut mengikuti dan membaca tulisan merapu Pakcik. Pakcik tak sempat mengemaskini blog sebab Pakcik tak sempat. Semua orang tak percaya. Biarkanlah mereka tak percaya. Pakcik tak sesekali mengupdate blog atau berface-book semasa waktu pejabat. Dah tu pulak, waktu pejabat Pakcik selalunya bermula dari pukul 8 pagi sehingga 9 malam. Balik ke rumah sudah letih. Ada yang bertanya Pakcik tak pakai Blackberry atau iPhone ke? Mudah untuk mengupdate blog terus dari handphone. Pakcik tak punyai Blackberry mahupun iphone. Bukan isu tak mampu tapi kes Pakcik agak complicated. Nantilah Pakcik ceritakan...Sebok bekerja bukan Pakcik sengaja reka-reka. Memang sebok. Ramai yang menegur Pakcik makin kurus. Biarkanlah. Janji sihat. Tapi sebenarnya, kalau tak sebokpun Pakcik buat-buat sebok....hee..heee...
Subscribe to:
Posts (Atom)