Friday, October 30, 2009

Una menang lagi

Syukur bila dapat berita Una berjaya menjadi naib johan pertandingan hafazan. Selang beberapa hari Una dan kawan-kawannya menjadi johan pertandingan kuiz pula. Menang kalah adat pertandingan. Yang penting keberanian dan penghormatan yang diberi cikgu untuk Una bertanding. Una semasa kecilnya cukup pemalu. Kalau ke kedai cukup susah nak minta Una bayarkan barang di kaunter. Sekarang tidak lagi. Una sudah berani tampil di khalayak. Sudahpun bergelar johan dan naib johan. Penting untuk kanak-kanak dilatih untuk punyai keyakinan diri yang tinggi. Keyakinan inilah yang membina sikap berani dan berketerampilan. Nilai-nilai inilah yang sering dilihat dan diambil kira hatta di alam pekerjaanpun. Kecemerlangan akademik semata-mata bukanlah lesen otomatik untuk membina karier dan hidup yang baik. Berapa ramai yang lulus cemerlang setiap tahun dan graduat dari universiti dan kolej? Berapa pula jumlah kekosongan pekerjaan? Mengisi peluang pekerjaan di Malaysia amat mencabar dan kompetitif. Majikan lebih berminat untuk memilih calon yang cemerlang akademik dan juga cemerlang dalam ko-korikulum. Watak yang dibina melalui aktiviti ko-korikulum inilah yang banyak membantu survival pekerja dan syarikat. di alam pekerjaan. Pelajar yang terlatih dengan keberanian, kepimpinan dan urus diri yang baik akan memudahkan perjalanan karier seseorang pekerja. Dunia pekerjaan sekarang bukan sekadar mengambil arahan dan melaksanakan arahan. Dunia sekarang lebih menuntut pekerja untuk lebih kreatif dan inovatif untuk bersama-sama menggerakkan syarikat ke depan. Bukan lagi sikap menanti arahan tetapi perlu lebih pro-aktif melaksanakan tugas tanpa perlu menunggu arahan. Ramai pelajar yang belum nampak kepentingan ini. Tapi percayalah, berapa ramai calon temuduga yang gagal disebabkan gagal menampilkan watak yang diperlukan oleh syarikat pada zaman yang serba mencabar ini. Sekarang bukan lagi soal bagaimana syarikat dapat membantu survival kakitangannya, tetapi lebih kepada soal bagaimana pekerjanya dapat membantu survival syarikat. Nampaknya Una sudah memulakan proses pembentukan watak itu...teruskan Una!

Saf

Maghrib tadi bukanlah kali pertama Pakcik berkesempatan solat berjemaah di masjid Taman Melati. Pakcik paksakan diri untuk pulang lebih awal pada malam ini dengan niat untuk sempat berjemaah di masjid itu. Berbeza sekali suasana di sini berbanding kebanyakan tempat yang lain. Masjidnya sentiasa makmur. Maghrib tadi saf lelakinya hampir separuh masjid. Bukan setakat malam Jumaat sahaja masjidnya ramai, malah pada malam-malam yang lain jemaahnya pun ramai juga. Mesti ada yang istimewa dengan ahli qariah di sini. Malam kulaih agama masjidnya penuh melimpah. Begitu tinggi kesedaran dan ilmu masyarakat di sini. Bahagianya menjadi penduduk Taman Melati. Subuhnya walaupun tidak seramai maghrib dan isyak, masih juga empat lima saf. Ramai juga. Sebelum berkumandangnya azan waktu maka suasana sekeliling akan dihidangkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci yang sungguh merdu. Pengurusan masjidnya nampak begitu teratur dan profesional. Imamnya lulusan Al-Azhar. Malah bilalnya juga seorang hafiz. Bacaan imamnya mirip Sheikh Abdul Rahman Sudais. Biarpun separuh juzuk dibaca dalam setiap rakaat pertama dan kedua solat, makmum kelihatan cukup kusyuk. Terasa suasana di Masjidil Haram ataupun di Masjid Nabawi. Berbeza sekali di kampung-kampung dan beberapa tempat lain. Masjid dan suraunya hambar dan kosong. Kalau bilalnya cuti tak mustahil tak berkumandanglah azan di masjid itu. Jika imamnya tidak hadir ke masjid, saling tolak menolaklah makmum untuk menjadi imam. Bukan atas alasan tawaduk dan merendah diri untuk tidak menjadi imam, tetapi ayat apa hendak dibaca nanti, tajwidnya bagaimana, rakaatnya entah betul entah tidak. Begitulah ketaranya perbezaan suasana, masyarakat di tempat yang berbeza. Orang kota selalunya dikaitkan dengan sebok dan kesuntukan masa. Tetapi suasana masjidnya jelas berbeza. Mungkin juga Allah memberi serba kelapangan kepada hamba-hambanya yang sentiasa kelihatan sebok dengan urusan dunia untuk mendapat luang dan ruang beribadat dengan penuh sempurna selagi hambanya itu ikhlas untuk sentiasa menghambakan diri untuk Tuhannya.

Wednesday, October 28, 2009

Ottawa

Pagi tadi kerani di tempat kerja Pakcik ingatkan Pakcik supaya segera membuat claim ke Ottawa tempohari. Baru Pakcik teringat rupanya claim belum dibuat. Patutlah duit dalam akaun susut banyak. Rupanya duit yang keluar belum diganti. Lawatan kerja ke Ottawa tempohari cukup menarik. Selain ianya merupakan kali pertama Pakcik menjejakkan kaki ke Kanada, musim luruh yang menanti kehadiran Pakcik ke pusat pentadbiran Kanada itu cukup meninggalkan kenangan. Kanada sinonim dengan daun maple - lambang kebangsaan negara Kanada. Di sepanjang jalan pokok-pokok semakin membogel. Jalanan penuh diturap daun maple. Seluruh bandar dan desa berlatarkan musim luruh. Cukup cantik. Sayang sekali Pakcik tak ada kamera yang baik. Jika tidak sudah pasti keindahan musim luruh di Kanada itu dapat Pakcik abadikan secara lebih artistik. Keindahan musim luruh di Ottawa mengingatkan Pakcik kepada musim luruh di UK. Leeds cukup indah pada musim luruh. Walaupun tulip banyak mekar pada musim bunga dan musim panas, itu belum cukup memberi keindahan sebenar kepada Leeds. Daun yang gugur yang memenuhi lantai dan tanah cukup untuk memberi gambaran indahnya autumn season di Leeds. Bayangkan pokok setinggi dan sebesar pokok balak boleh dogol dan cuma tinggal beranting. Seluruh daun gugur menutupi bumi. Awal musim luruh lebih indah ketika daun masih kekuningan sebelum bertukar kering. Cuaca musim luruh juga cukup enak. Cukup sekadar baju sejuk nipis. Ke sana ke sini masih bebas tak menggigil seperti musim sejuk, tak sehangit musim panas. Serba serbi indah. Kalau Pakcik orang seni, sudah banyak karya seni Pakcik lahir pada musim luruh. Apakan daya, Pakcik orang sains. Cuma mampu memerhati dan mengkagumi kekuasaan Tuhan tanpa mampu menterjemah ke dalam karya seni hebat. Yang pasti email Pakcik kepada Makcik di Pennsylvania pada musim luruh mungkin lebih romantik dari kebiasaannya. Mungkin. Sesungguhnya, Ottawa kembali mengungkit kenangan lama.....

Dah lama...

Ramai bertanya kemana Pakcik menghilang. Dah lama blog tak diupdate. Kawan lama Pakcik yang ditemui semasa reunion sekolah tempohari turut bertanya perkara yang sama. Tak sangka pulak Pakcik rupa-rupanya rakan-rakan sekolah turut mengikuti dan membaca tulisan merapu Pakcik. Pakcik tak sempat mengemaskini blog sebab Pakcik tak sempat. Semua orang tak percaya. Biarkanlah mereka tak percaya. Pakcik tak sesekali mengupdate blog atau berface-book semasa waktu pejabat. Dah tu pulak, waktu pejabat Pakcik selalunya bermula dari pukul 8 pagi sehingga 9 malam. Balik ke rumah sudah letih. Ada yang bertanya Pakcik tak pakai Blackberry atau iPhone ke? Mudah untuk mengupdate blog terus dari handphone. Pakcik tak punyai Blackberry mahupun iphone. Bukan isu tak mampu tapi kes Pakcik agak complicated. Nantilah Pakcik ceritakan...Sebok bekerja bukan Pakcik sengaja reka-reka. Memang sebok. Ramai yang menegur Pakcik makin kurus. Biarkanlah. Janji sihat. Tapi sebenarnya, kalau tak sebokpun Pakcik buat-buat sebok....hee..heee...

Sunday, August 9, 2009

1 Ogos 2009

Tanggal 1 Ogos Pakcik hampir bersama ribuan rakyat di KL. Memandangkan orang kampung sudah menelepon menyatakan hasrat turun ke Melaka, maka Pakcik membatalkan hasrat memeriahkan bandaraya KL dengan baju merah hitam. Tidak ada seorangpun anggota keluarga Pakcik pernah ditahan di bawah akta itu. Belum pernah. Kalau adapun mungkin Pakciklah. Tidak perlu menunggu sehingga ada di antara kita terkena baru hendak bertindak. Pakcik diajar berfikir secara holistik dan jujur dalam apa juga situasi. Pakcik cukup terhina jika pemikiran holistik Pakcik dianggap jumud. Lebih terhina jika pemikiran Pakcik cuba disogok dengan kata-kata yang cukup jumud dan separauh matang. Kemajuan rakyat sesebuah negara banyak dipengaruhi bentuk santapan minda yang diterima setiap hari. Apa yang paling dekat dengan rakyat kalau bukan hebahan media, baik media elektronik mahupun media cetak suratkhabar. Amat berbeza membaca suratkhabar orang putih dan surat khabar bahasa Melayu. Walaupun Pakcik arif siapa tuan punya surat khabar orang putih, namun olahan bahasa dan beritanya tidak nampak sangat menghina minda dan intelligence pembaca. Paling gelihati bila Pakcik terpandang tajuk muka depan satu surat khabar bahasa Melayu - "Perhimpunan Haram Menyusahkan Rakyat"! Disebut ramai peniaga sekitar Jalan TAR kerugian bila berlaku himpunan orang ramai. Pakcik pernah bersembang dengan ramai peniaga, baik peniaga pasar malam mahupun peniaga gerai makanan dan kedai-kedai lain. Logiknya, lagi ramai orang datang maka kebarangkalian untung lebih tinggi. Ini tidak, lagi ramai orang datang, lagi rugi. Rugi cuma berlaku kalau pelanggan lari. Kalau ada pelanggan lari mesti sebab dikejar atau dihalau. Siapa yang halau pelanggan yang ramai itu? Siapa yang kejar? Pakcik pelik. Dan terasa seperti minda Pakcik yang selalu diasuh berfikir secara holistik, jujur dan di luar kotak itu cuba diperkotak katikkan. Oh bangsaku..!

Saturday, May 23, 2009

Masuk Rumah Baru Yang Dah Lama

Kesian Bro Shahbaz dan isterinya Dr Fatimah - penyewa rumah Pakcik di Melati Utama. Tiba-tiba Pakcik terpaksa memberi notis satu bulan untuk mereka sekeluarga mengosongkan rumah tersebut supaya Pakcik boleh menginap sempena perpindahan ke Kuala Lumpur. Bro Shahbaz bolehlah dikategorikan sebagai penyewa yang bertanggungjawab. Duit sewa tak pernah lewat. Kalau beliau ada apa-apa masalah, pasti beliau akan beritahu Pakcik. Memang tak pernah ada masalah dengan beliau. Anak tunggal mereka dilahirkan ketika mereka menyewa di situ. Usia anak mereka sudah menjangkau 3 tahun. Dr Fatimah kelihatan menangis apabila Pakcik datang mengambil kunci rumah. Sedih kerana banyak kenangan mereka sekeluarga terabadi di situ. Bro Shahbaz dan keluarga berpindah ke Kerinchi, kebetulan isterinya mendapat tawaran menyambung pelajaran di Universiti Malaya. Secara kebetulan Pakcik memberi notis kepada mereka ketika mereka juga dalam persiapan untuk berpindah ke Kerinchi. Jadi, Pakcik tidaklah nampak zalim sangat seolah-olah menghalau mereka keluar dari Melati Utama. Dr Fatimah meminta izin untuk sekali sekala membawa anak kecilnya yang bernama Syifa untuk bertandang ke Melati Utama. Hari ini sudah masuk minggu kedua Pakcik menginap di Melati Utama. Rumah sudah dicat baru dengan bantuan Paklang Polis. Tema coklat bercampur hijau pulut serimuka. Rumah masih kosong. Yang ada cuma sehelai tikar, sekeping toto dan dua biji bantal. Memang kosong sungguh. Dua minggu Pakcik di situ, tidak ada TV, tidak ada radio. 6.30 am Pakcik seudah keluar rumah. 10.00 malam Pakcik baru muncul semula ke rumah. Cuba menapak kaki dari Melati Utama ke stesen LRT sungguh memenatkan. Mungkin Pakcik perlu motosikal secondhand sebagai feeder ke stesen LRT. Motosikal macam Suzuki Pak Ku 'Ad Bukit Selambau pun tak mengapa. Atau, Yamaha tanpa mudguard serupa motor Bang Zan Ustaz Mahmud pun boleh dipertimbangkan. Bukannya apa, kata Paklang motor cantik-cantik jangan diparking di LRT sesuka hati. Ramai peminat..!Minggu depan akan masuk minggu ketiga Pakcik di sana. Mungkin akan ada sedikit penambahan di ruang tamu rumah baru itu. Bukan sofa atau set perabut mahal-mahal, cukup sekadar satu dua kerusi untuk Pakcik bertenggek di balkoni sementara menunggu mata mengantuk sambil menikmati keindahan Kuala Lumpur di waktu malam.....

Friday, April 10, 2009

Kuala Lumpo

Dalam banyak-banyak lagu yang bersangkut paut dengan Kuala Lumpur, Pakcik amat gemar lagu "Sesat di Kuala Lumpur" nyanyian Kembara. Masih ingat Paklong juga peminat Kembara selain album-album lain yang beliau beli seperti album Sharifah Aini, Brorey dan juga satu dua album barat seperti ABBA dan Boney M. Walaupun kaset-kaset itu dimainkan daripada radio lama yang entah bila Paklong beli, masih tak dapat melawan dentuman piring hitam dari rumah Tok Siak Laksa atau dari rumah Kak Yah Tok Aey. Namun, bila Paklong tiada di rumah Pakcik akan curi-curi putarkan lagu Sesat Di Kuala Lumpur berulang kali. Sampai sekarang Pakcik masih menyimpan kaset koleksi Kembara itu. Lebih kerap lagu itu diputarkan di bilik hotel 4-5 hari kebelakangan ini...

Sesat di Kuala Lumpur
Pahala dan dosa bercampur
Namun kita perlu hidup
bla...blaaa...blaaa...

Friday, March 27, 2009

Ketiak ayah bucuk...

Masjid Tanah kering lagi. Kerap sungguh masalah ketiadaan air melanda Masjid Tanah. Katanya notis pemotongan bekalan air sudah dicanangkan melalui radio Melaka. Patutlah Pakcik tak tahu. Pakcik mana dengar radio Melaka. Disebabkan terpaksa berjimat menggunakan air untuk sehari dua ini, Una terpaksa belajar mengambil wudhu dengan secebok air. Ambil yang wajib saja. Abampun terpaksa membatalkan program riadhah petang untuk mengelakkan peluh. Jadi tak perlu mandi banyak. Nasib baik jiran yang baik hati menghulurkan bantuan air. Ada juga bekalan untuk kegunaan serba berjimat. Sempat juga Pakcik memberi sedikit tazkirah untuk seisi keluarga selepas solat maghrib berkenaan nikmat Allah swt. Kali ini nikmat air menjadi topik utama. Ada juga hikmah ketiadaan air kali ini. Sekurang-kurangnya anak-anak lebih faham nikmat air dan perlunya berjimat cermat. Belum sempat mengajar dan membuat praktikal istinjak dan tayammum. Mungkin kalau masalah air lebih meruncing pada masa akan datang, Una dan Abam akan lebih faham apa itu tayammum dan istinjak dalam Islam. Pakcik biasa tak mandi. Setakat tak jumpa air satu dua hari masih kira OK buat Pakcik. Dulu di UK pernah dak mandi tiga empat hari semasa musim sejuk. Cuma Bibi Ipo tak tahan dengan Pakcik. Ketiak ayah bucuk sambil mengelak daripada dicempung.

Perbahasan sekolah tadika

Mutu perbahasan perwakilan masih di tahap bebal. Selain kutukan keterlaluan terhadap parti lawan yang sememangnya tidak perlu, cadangan-cadangan yang memualkan cukup merencatkan agenda perbahasan. Apa rasional diusulkan hanya loyalist parti yang boleh diangkat menjadi Naib Cancellor dan jawatan-jawatan penting di pusat-pusat pengajian tinggi? Apakah tidak ada cadangan dan usul yang lebih bangang daripada itu? Sebelumnya, seorang perwakilan menyebut alangkah silapnya parti beliau membebaskan seorang ketua parti lawan dari penjara beberapa tahun lepas. Tak mungkin perwakilan itu tersalah cakap dan tak tahu membezakan di antara bidang kuasa parti politik dan kuasa mahkamah. Tapi apa nak dihairankan. Mungkin perwakilan itu merupakan graduan dari pusat pengajian yang sememangnya berketuakan atau bernaib cancelorkan loyalist partinya yang tak tahu apa-apa....Itulah hasilnya.

Wednesday, March 25, 2009

PWTC

Sudah agak lama Pakcik tak mengikuti perbahasan perwakilan Perhimpunan Agung Parti Melayu baik dalam suratkhabar, internet mahupun TV. Entah macamana pada kali ini Pakcik dan Makcik begitu berminat untuk mendengar dan mengikuti berita dari PWTC itu. Harapan Pakcik agar pengajaran daripada keputusan PRU 2008 dan 2 PRK pada tahun lepas menjadi titik tolak gagasan baru yang bakal melonjak kekuatan bangsa. Harapan menggunung Pakcik agar menjelma rasa insaf dan kesedaran penuh tawadduk untuk mencorak masa depan bangsa dan agama biarpun perlu mengakui kelemahan diri dan memperakukan kelebihan lawan. Apalah kiranya duduk dan dibincangkan permasalahan bangsa, agama dan negara dengan lebih serius dan tegas agar menampakkan iltizam merubah masa depan. Rupanya harapan Pakcik cuma tinggal harapan. Amat kurang jelas apakah gagasan baru yang cuba dibawa. Hinaan kepada lawan masih menjadi bahan perbahasan dan acapkali dijadikan modal jenaka untuk gelak ketawa. Sungguh serius ahli politik mempolitikkan isu sehingga peluang bermuktamar setahun sekali seperti itu tidak digunakan sepenuhnya untuk merencana haluan masa depan negara. Peluang untuk melihat perubahan yang lebih baik dalam negara amat malap jika itulah sikap dan pendirian ahli politik kita. Apalah kiranya, sekali sekala ketepikan sindrom penafian atas dasar memartabatkan keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran negara. Sampai bila kita akan terus hidup dan melayan kerenah politik separa matang dalam kehidupan seharian kita di bumi Malaysia ini...sampai bila?

Tuesday, March 17, 2009

Melaka ku Yang Popular

Pakcik tak nak cerita panjang-panjang kali ni. Berita berkenaan Melaka cukup sensasi hari ni dan mungkin juga akan terus sensasi untuk hari-hari berikutnya. Tapi yang pelik orang Melaka pun tak nak mengaku orang Melaka sekarang. Pelik....

Tapi Pakcik orang Kedah!

Sunday, March 8, 2009

Klinik Pillay

Sudah agak lama Pakcik tak ziarah mana-mana klinik. Sudah hampir 10 tahun Pakcik tak pernah ambil MC. Saban tahun sentiasa saja Pakcik mendapat anugerah khas kakitangan yang tak pernah cuti sakit sepanjang tahun. Tahun lepas Pakcik membawa pulang jam dinding. Tahun sebelum itu diberi voucher Pakson hampir RM350. Sebelum itu lagi Pakcik dapat set pinggan mangkuk Corningware. minggu lepas pakcik pecah rekod. MC pertama dalam masa lebih 10 tahun bertugas. Pakcik pun tak tahu klinik mana di kawasan Masjid Tanah ni yang betul betul rasi dengan sakit Pakcik. Setakat demam sikit-sikit selalunya Pakcik cuma telan Panadol. Sejam dua legalah. Tapi 2 minggu lepas lain sikit. Bermula dengan selesema yang tak kering-kering. Mungkin suasana berhabuk di pejabat dan di kilang tiba-tiba begitu sensitif dengan hidung Pakcik. Daripada selesema terus kepada batuk. Terus Pakcik ke klinik di Masjid tanah. Habis semua ubat ditelan tak juga baik. Batuk kuat sudah menjadi rutin setiap awal pagi. Bunyi dengung semasa bernafas kembali mengingatkan Pakcik kepada lelah Pakcik 30 tahun lalu. Tak tidur malam maktok dan tokwan kalau dengung Pakcik menjadi-jadi. Apa agaknya dalam fikiran maktok dan tokwan setiap kali Pakcik semput macam itu. Yang pasti, Pakcik ingat macam-macam ikhtiar dibuat maktok dan tokwan untuk mengurangkan lelah Pakcik. Minyak angin Tok Nun dan minyak akar kayu Tok Munah tak lekang dari penjuru katil. Pernah Pakcik dingangakan mulut oleh tokwan menelan minyak angin burung good-good. Minumlah dulu ubat ni sementara esok pagi - selalu pujuk maktok dan tokwan. Esok pagi kita ke Sungai Petani, jumpa Dr Pillay. Cukup sinonim Klinik Pillay dengan Pakcik. Sudah ingat-ingat lupa lokasi asal klinik Pillay. Kalau tak silap Pakcik, tapak asal klinik Pillay cuma berdepan dengan pejabat LLN @ TNB Sungai Petani. Yang Pakcik ingat selalu berjalan kaki tak jauh dari stesen teksi ke klinik tersebut. Ubat lelah klinik Pillay tak berbezapun dengan ubat-ubat dari klinik lain. Rasa, warna dan harga rasanya lebih kurang. Tapi entah sebab apa Pakcik cukup rasi dengan klinik Pillay. Dengar ceritanya, Pakcik sembuh dari lelah dengan bermacam-macam cara. Paklang dan Makngah selalu mengusik yang tokwan beri Pakcik makan anak tikus masa kecik-kecik dulu. Ada yang kata berkat doa maktok semasa diberi Pakcik minum air embun pagi. Ada yang kata hasil mujarabnya ubat klinik Pillay. Yang Pakcik pasti, sakit demam semuanya kuasa Allah. Kita cuma menguruskan tubuh badan ini supaya sentiasa sihat. Mujurlah semasa Pakcik berjumpa pakar tempohari, katanya Pakcik cuma mendapat jangkitan kuman. Insyaallah, Pakcik tak perlu lagi mencari ubat klinik Pillay katanya. Insyaallah...

Wednesday, February 18, 2009

144 Kampung Klinik

Sejak ketiadaan maktok dan tokwan Pakcik sentiasa hiba setiap kali pulang menjenguk rumah pusaka 144 Kampung Klinik. Keluarga kehilangan tokwan sewaktu arwah tokwan pulang dari menghantar Pakcik balik ke asrama dan terlibat dalam kemalangan berdekatan Tye Aik. Pakcik kehilangan maktok ketika Pakcik sedang dalam persiapan minggu terakhir menghadapi peperiksaan tahun akhir di Leeds. Saat menerima panggilan telefon daripada arwah Paklong mengatakan kepergian maktok menyahut panggilan Ilahi, Pakcik hampir pitam. Esoknya Pakcik terus berjumpa dekan fakulti memohon cuti beberapa hari untuk pulang ke kampung. Memang sudah terlewat untuk menatap wajah maktok tetapi naluri Pakcik seakan-akan mendesak untuk pulang walaupun tarikh peperiksaan cuma tinggal seminggu. Cukup sekadar menziarahi pusara maktok dan menatap rumah peninggalan maktok yang meninggalkan begitu banyak kenangan untuk Pakcik dan ahli-ahli keluarga yang lain bersama maktok dan tokwan. Pakcik pulang, walaupun cuma untuk 4 hari! Berkat simpanan dan tabungan Pakcik dan juga sumbangan kawan-kawan sekuliah Pakcik tetap pulang. Selepas 4 hari Pakcik kembali ke Leeds dan terus ke dewan peperiksaan keesokan harinya. Alhamdulillah, berkat doa arwah maktok dan keluarga, Pakcik muncul antara 3 pelajar terbaik untuk fakulti kejuruteraan kimia Leeds University. Siapa sangka? Mujur Pakcik pulang walaupun cuma dapat menatap wajah ahli keluarga, pusara maktok dan rumah maktok, itu sudah cukup memberi ketenangan bagi Pakcik menghadapi final year exam tersebut. Rumah pusaka 144 Kampung Klinik menyimpan cukup banyak kenangan untuk dikenang. Semua ahli keluarga membesar di situ. Walaupun Paklong, Makngah, Paklang, Paknjang dan Makndak dilahirkan di kampung Perak, mereka lama membesar dan dewasa di 144 Kampung Klinik. Pakcik dan Maksu khabarnya di lahirkan dan dibidankan di rumah pusaka itu. Walaupun tempoh dewasa Pakcik banyak dihabiskan di asrama dan di luar kampung namun kenangan zaman sekolah rendah dan sesekali pulang ke kampung ketika cuti sekolah dan cuti semester cukup banyak mencatat kenangan indah. 144 Kampung Klinik asalnya dibina dan diilhamkan oleh arwah toknek yang yang bercirikan rekabentuk rumah Melaka. Maklumlah, asal-usul ayah tokwanpun katanya dari Tanjung Keling, Melaka. Rumah berbumbung runcing, bertangga batu ala istana Mansur Syah dan berserambi saling tak tumpah umpama rumah Hang Tuah dalam filem lama P Ramlee. Berpagarkan deretan pokok nyior di bahagian depan dan pokok cempedak dan rambutan di sebelah belakang cukup untuk menyatakan itulah ciri-ciri rumah kampung yang cukup ideal. Sebelum 144 Kampung Klinik diperkenalkan dengan kemudahan elektrik, lampu gasoline cap rama-rama menjadi penerang di malam hari. Seperti menjadi rutin arwah tokwan mengepam lampu gasolin setiap petang sebelum bergerak keluar mencari rezeki sebagai jaga di Tye Hong. Menjadi kewajipan Pakcik dan kerabat yang lain untuk mempastikan bekalan minyak tanah cukup untuk menyalakan beberapa pelita untuk menerangi bahagian dapur dan mungkin perlu untuk mencerahkan jalan ke tandas cangkung di belakang rumah dan juga untuk Makngah, Paklang, Paknjang, Pakcik, Makndak dan Maksu mengulangkaji pelajaran di waktu malam. Di tepi sebelah kanan maktok dan tokwan bertemankan rumah Bangcark dan Kak Zizah yang cukup berpekerti. Cukup mulia Bangcark selaku anak menakan maktok. Di sebelah kiri berjirankan Kak Jaq dan bondanya Tok Chah. Sekali Tok Cah latah, boleh berderai cawan gelas di rumah. Di belakang pulak berjirankan Bang Ark (nota: ayah kepada Ani Putt marka lama). Bang Ark tak lama di situ sebelum berpindah ke Felda Lubuk Merbau. Di tepi sedikit rumah Bang Cha bomo yang boleh diumpamakan seperti kaum keluarga sendiri. Rumah Pak Ku 'Ad di belakang sedikit berhampiran rumah Pak Yob Mak Kiah. Cukup meriah suasana ketika itu. Umpama keluarga besar. 144 Kampung Klinik menjadi pusat tumpuan. Cina bergaduhpun dicari tokwan. India berkelahi di Tye Sengpun dicarinya tokwan. Bahkan, kes curi lembu di Kuala Sin pun memerlukan nasihat tokwan. Tokwan umpama ADUN tak rasmi Bukit Selambau. Jika ketika itu N25 BS sudah wujud, tak mustahil tokwan menang tanpa bertanding. Pakcik yakin, atas tiket apapun tokwan bertanding, tokwan insyaallah menang bergaya. Tokwan umpama simbol wakil rakyat sejati. Menjadi sebenar-benar hamba rakyat. Pusat rujukan penduduk terbanyak, dan menjadi penyatu perpaduan rakyat dan penyubur amalan berpolitik yang sebenar dan tulin. Semoga Allah membalas segala jasa tokwan yang amat besar kepada kami dan kepada semua rakyat Bukit Selambau yang mengenali arwah tokwan dan 144 kampung Klinik...

Wednesday, February 11, 2009

Bukit Selambau yang kurindui

Popular Bukit Selambau sehari dua ini. Tak disangka kampung yang agak ceruk dan hulu ini mendapat perhatian luar biasa sejak berita perletakan jawatan ADUNnya tersebar 3 hari lepas. Berita TV sungguh bijak mengambil beberapa shot yang agak menarik di sekitar Bukit Selambau sambil menemuramah penduduk sekitar. Hatta gambar Klinik Bukit Selambau pun nampak indah di dalam TV. Nampak Bukit Selambau agak maju dan urban sekilas pandang di dalam berita TV walaupun yang masuk ke situ masih bas UTC nombor 7 yang berdebu dan tak berpenumpang. Betul, Bukit Selambau masih seperti dulu. Tiada kepesatan pembangunan seperti tempat-tempat lain di sekitar Sungai Petani. Estet getah dan kelapa sawit masih menghijau segar dipandang. Kalaupun ada projek besar yang signifikan kepada pembangunan sektor ekonomi Bukit Selambau cuma di sekitar Aman Jaya yang dikatakan masih terpagar di dalam DUN N60. Selebihnya, yang mungkin menjadi loncatan kepesatan ekonomi Bukit Selambau ialah dengan terbinanya jambatan yang menghubungkan Teloi dan Bukit Selambau yang mendekatkan daerah Baling, Sik dan Kuala Muda. Yang lainnya, Bukit Selambau masih seperti dulu. Anak-anak mudanya masih ke luar daerah mencari rezeki dan pekerjaan. Bukan tiada peluang pekerjaan d sekitar kampung tetapi tarikan dunia pekerjaan di luar lebih menarik untuk ditolak dan dinafikan. Yang tinggal di kampung cumalah generasi lama yang masih terikat dengan komitmen kebun dan ayam itiknya. Pakcik langsung tak meletakkan harapan untuk penduduk Bukit Selambau berubah dari segi berpolitik dan memilih parti politik pemerintah memandangkan sejarah dan sosio politik sejak zaman berzaman tidak pernah menunjukkan tanda perubahan. Apalah sangat yang boleh diharapkan daripada generasi lama yang sudah Pakcik kenal kecenderungan politiknya. Tanggapan Pakcik ternyata meleset. Pada PRU12 yang lalu penduduk Bukit Selambau memanifestasikan semangat perubahan yang ternyata mengejutkan Pakcik. Tentu ada sesuatu yang memungkin perubahan berlaku. Tentu salah satu daripadanya adalah kesan daripada penghijrahan anak-anak muda ke luar yang kembali ke kampung membawa mesej-mesej perubahan. Mereka inilah agen perbahan yang memungkinkan generasi-generasi lama yang agak berkarat dapat diputihkan kembali. Maksudnya, walaupun Bukit Selambau terpencil, penduduknya masih boleh melihat dan menilai isu-isu di luar pagar DUN N60. Orang Bukit Selambau sudah bijak berpolitik. Orang Bukit Selambau sudah bijak menilai siapa ahli politik berwibawa dan siapa ahli politik yang "beri-bawah". Orang Bukit Selambau sudah boleh menilai siapa derhaka dan siapa menjunjung daulat raja. Sumber bacaan bukan lagi cuma Utsan Malaysia. Jangan terkejut kalau Pak Ku 'Ad pun sudah pandai membaca blog. Apatah lagi cendikiawan seperti Cikgu Usop dan Tok Bakar Gunting. Tak mustahil ulangan pilihanraya bakal menyaksikan angin perubahan 2008 kekal dan terus memuncak. Pakcik rasa bersalah kalau tak ikut bersama menjadi agen perubahan ini...

Friday, February 6, 2009

Lompat

Dalam banyak-banyak sukan Pakcik cukup tak suka sukan lompat. Apa saja sukan yang memerlukan kekuatan dan kepandaian melompat Pakcik akan mengelak. Walaupun Pakcik pernah menang pingat gangsa lompat jauh semasa sukan sekolah dulu, itu bukan bermakna sukan lompat jauh menjadi kegemaran Pakcik. Pakcik dapat tempat ketigapun disebabkan peserta sebelum itu dibatalkan. Maka dapatlah pingat gangsa dalam sukan yang Pakcik langsung tak minat. Acara lompat tinggi adalah satu lagi sukan yang Pakcik cuba elak sedaya mungkin. Sudahlah kena lompat melepasi palang, nak melentikkan badan macam ulat belencas itupun satu masalah yang amat besar bagi Pakcik. Bukan setakat acara lompat di padang saja yang Pakcik benci, seluruh keturunan acara lompat Pakcik benci. Kalau main bolatampar Pakcik selalunya akan memilih untuk membuat pukulan spike di bawah jaring supaya tak perlu melompat. Pakcik cuba juga bermain basketball tapi selepas diarah oleh Cikgu Habeeb untuk melompat semasa melakukan shooting dan rebound Pakcik terus tak pergi berlatih selepas itu. Alasannya, Pakcik tak suka melompat. Punca Pakcik tak terpilih mewakili sekolah dalam sukan bolasepak pun boleh jadi turut disebabkan keengganan Pakcik melompat ketika melakukan tandukan. Skill menggelecek bola Pakcik rasanya lebih kurang macam Husin Jaafar saja kalaupun tak sehebat Harun Tok Mat Ichek Bukit Selambau. Jadi, apa saja yang bersangkut paut dengan lompat Pakcik tak suka. Phobia kata orang Jerman. Pakcik tak tau mengapa. Mungkin kajian PhD boleh dibuat untuk mengkaji perkara ini. Oleh itu apabila terbaca isu lompat melompat ini semacam menjadi rutin orang-orang politik, Pakcik rasa cukup meluat. Kalau melompat itu disertakan dengan iltizam yang jelas demi kesejahteraan dan kebaikan agama, rakyat dan negara sudah tentu sesuatu yang mungkin boleh diterima umum. Tetapi melompat sana dan melompat sini dengan penuh tanda tanya, tanpa menyedari rakyat terbanyak mencemek muka meluat adalah suatu tindakan yang buruk dan busuk. Rupa-rupanya phobianya Pakcik dengan sukan melompat tak jauh bezanya dengan meluatnya Pakcik dengan lompat-melompat politik yang berlaku sehari dua ini. Apa juga alasan orang politik, rakyat terbanyak akan sentiasa menilai sikap, pendirian dan keikhlasan mereka dalam perjuangan.

Tuesday, January 27, 2009

Tugas baru?

Sehari sebelum berangkat bercuti ke UK bulan sebelas yang lalu, pakcik mendapat sepucuk (?) email daripada bos besar di KL. Pakcik diminta menghadiri satu sessi bersembang dan berbincang mengenai karier Pakcik di KL. Apa pulak tiba-tiba nak ajak berbincang ni. Hati Pakcik berdebar juga walaupun debaran untuk bercuti di Eropah bersama keluarga lebih lagi. Pakcik jawab email tersebut mengatakan Pakcik sedang bercuti dan tak dapat menghadiri sessi tersebut. Amboi sombongnya Pakcik...mungkin itu kata-kata yang mungkin dilafazkan bos besar dari KL itu. Semasa di London Pakcik menerima panggilan telefon daripada HR KL meminta Pakcik memaklumkan aspirasi Pakcik untuk tempoh 5 tahun akan datang. Maksudnya, apa Pakcik nak jadi 5 tahun lagi. Itulah agaknya maksud dalam panggilan telefon itu. Pakcik tetap tak jawab. Pakcik betul-betul enjoy cuti kali ini. Jauh di sudut hati pakcik dapat rasakan ada sesuatu yang menanti Pakcik apabila balik nanti. Yang pasti Pakcik mesti dibelasah bos apabila masuk kerja seminggu selepas itu. 2 hari selepas itu sekali lagi panggilan dari KL berdering mendesak agar Pakcik respon segera permintaan dari HR tempohari. Penting katanya. OK, Pakcik berjanji akan terus ke KL apabila Pakcik pulang dari London. Tak lelap tidur pakcik selepas itu. Apa pulak ni.. Pada makcik tak banyak yang Pakcik ceritakan. Cuma Makcik agak over sedikit sehinggakan sanggup mencadangkan agar dibatalkan saja percutian kali ini kalau Pakcik perlu menghadiri sessi bersama HR dan boss besar. Mungkin rezeki akan bertambah kata Makcik. Pakcik tak termakan cadangan makcik. Pada Pakcik, kalau dah rezeki tak akan ke mana.

Pertemuan dengan HR agak kasual. Diceritakan bahawa peluang untuk Pakcik membina karier yang lebih baik terbuka luas. Ramai pihak memerhati perjalanan kerjaya Pakcik dengan minat selama ini rupanya. Pakcik tak teruja sedikitpun. Tapi dalam hati kecil tetap melafazkan rasa syukur. Katanya, pihak pengurusan berbincang langkah terbaik untuk Pakcik terus melangkah setapak demi setapak dalam organisasi ini. Langkah awal katanya ialah Pakcik perlu segera pindah dari Melaka ke tempat lain. Jangan terlalu lama di Melaka. Itu teori mereka. Takut berakar tunjang di Melaka susah untuk dicabut nanti. Pakcik mengambil sikap bersetuju sahaja dengan apa yang dicadangkan pihak pengurusan. Ke mana saja Pakcik dihantar, Pakcik akan ikut. Tapi dalam hati berharap agar Pakcik dapat kekal di Melaka dalam tempoh yang lebih lama. Pakcik ditanya ke mana yang destinasi yang Pakcik idamkan? Kenapa pula Pakcik ditanya soalan itu. Pakcik buat bodoh, tak tahu - jawab Pakcik. Sikap Pakcik dalam hal seperti ini, biarlah Pakcik mengikut arus. Pakcik tahu mereka sudah tahu kemana hendak pakcik tuju selepas ini dan biarlah mereka sahaja yang tentukan. Kalau mereka hendak jadikan Pakcik orang yang lebih baik, pakcik bersedia menerima apa saja tugas baru yang diamanahkan.

Monday, January 5, 2009

Hari Pertama Una di SKDTK

Una bangun awal pagi ni. Una Subuh berjemaah dengan Abam. Abam imam. Lain rupa Una bila lengkap berpakaian sekolah. Semangat betul dia nak ke sekolah. Entah boleh tidur atau tidak malam tadi Pakcikpun tak tahu. Kalau Pakcik dulu-dulu saheh tak boleh tidur malam mengenangkan esoknya hari yang amat penting. Begitu juga kalau ada rombongan ke Tanjung dan sebagainya sudah tentu tak lelap tidur sepanjang malam.
Pengalaman hari pertama Una di sekolah agak cemerlang. Sudah boleh mengangkat tangan menawarkan diri untuk membaca tulisan cikgu di papan hitam. Itu suda kira baik untuk hari pertama persekolahan. Agak sedih bila Una cerita apa yang berlaku pada waktu rehat. Una mengikut arahan cikgu untuk beratur di kantin untuk membeli makanan. Apabila tiba giliran Una untuk membeli baru Una sedar yang dia tak ada duit. Masyaallah Pakcik lupa nak beri duit bekal untuk Una! Unapun termelahu di hujung meja makan kantin sambil menghirup air masak yang dibawa dari rumah tadi. Cuma air masak. Kesian Una. Una balik sekolah agak lewat. Satu setengah baru sampai di rumah. Selesai makan, mandi dan solat zohor giliran untuk ke sekolah agama pulak. Tak sempat berehat. Petang tadi Pakcik ke sekolah Una dan tak sabar mendengar cerita Una berkenaan pengalaman sekolah petangnya pulak. Una belajar apa petang ni - soal Pakcik. Tak belajar apapun ayah, Una tidur aje dalam kelas. Una penat. Tak apa ini cuma hari pertama.

Thursday, January 1, 2009

Gaza City 1430H

Hari ini sudah masuk hari ke-5 Gaza City dibedil Regim Zionis laknatullah. Hampir 500 lebih rakyat Palestin teragut nyawa dan beribu yang lain cedera. Usah ditanya apa jadi dengan Gaza City. Hampir lumpuh. Sedangkan hospitalpun dibedil inikan pulak bangunan-bangunan yang lain. Ini merupakan keganasan dan penghinaan yang paling dahsyat Regim Zionis ke atas rakyat dan negara Palestin sejak 60 tahun yang lalu. Apa saja alasan Israel untuk menghalalkan serangan itu tidak dapat diterima akal yang waras. Serangan udara dihebatkan sejak malam tadi manakala dentuman kereta kebal melalui jalan darat ditingkatkan. Sasaran terakhir ialah bangunan parlimen Gaza, simbol kekuasaan HAMAS di Gaza. Tak sukar untuk membayangkan bahawa Gaza akan hancur menjadi padang jarak padang terkukur dalam sehari dua ini jika serangan Israel tidak disekat. Provokasi apa yang sedang dirancang oleh Zionis terhadap umat Islam? Ini bukan saja provokasi tetapi suatu penghinaan yang terang-terang terhadap umat Islam di seluruh dunia. Malang buat rakyat Palestin yang hanya berbekal batu kerikil mempertahankan maruah diri, agama dan negara tanpa mendapat bantuan langsung daripada dunia Islam khususnya. Apa yang susah sangat bagi jiran-jiran Palestin untuk menghulurkan bantuan dan bertindak balas terhadap keganasan Israel itu. Hanya sekadar kutukan tidak menjanjikan penyelesaian masalah. Sejak zaman berzaman dunia Islam hanya berani mengutuk tindakan Israel tanpa tindakan konkrit. Itupun yang berani mengutuk. Ada juga yang langsung tidak berani mengeluarkan walau sedikit komen, hanya memerhati dan membiarkan saudara di Palestin terus menerus dihina dan didera. Tanpa disedari, Israel dan Zionis turut menghina seluruh dunia dan umat Islam atas tindakan mereka itu. Apalah yang hendak diharapkan daripada ihsan Amerika menangani isu ini. Semua mengetahui siapa di belakang Amerika. Umpama mengadu kepada bapak penyangak mengatakan rumah kita dimasuki anak penyangak. Semua mengharapkan sinar baru daripada kemenangan Obama sebagai Presiden US yang baru. Beliau menangpun atas restu siapa? Tak mungkin Obama menang tanpa penglibatan pelobi Yahudi dan Zionis. Apa tindakan kita di bumi Malaysia sebagai tanda sokongan dan simpati kepada perjuangan rakyat Palestin? Apa kemampuan yang kita ada. Sekurang-kurangnya berdoalah untuk keselamatan Islam dan Palestin dan kehancuran Zionis. Apa lagi yang mampu kita buat? Boikot barang-barang dan syarikat yang ada kaitan langsung dan tidak langsung dengan Yahudi dan Zionis. Ada kesan? Mungkin tiada kesan sangat tetapi tanya diri sendiri bila berbuat demikian. Insyaallah akan mendapat sedikit kepuasan. Pernah Pakcik ternampak sekumpulan penduduk London berkumpul di hadapan M&S Oxford Street berkempen mengajak orang ramai memboikot M&S yang diketahui menyalurkan beberapa peratus keuntungan kembali ke Israel. Sedangkan masyarakat bukan Islam Londonpun begitu sensitif, kita pulak hanya berdiam diri?

Azam baru 1430H / 2009M

Apa azam baru dan harapan Pakcik menjelang tahun baru 1430H dan 2009 Masihi? Entah.
Persengketaan politik tidak matang sebahagian politikus Malaysia masih tiada kesudahan. Apabila menjelangnya pilihanraya kecil atau pilihanraya umum maka pelbagai isu dimainkan walaupun mencabar kebijaksanan kebanyakan rakyat bawahan. Pilihanraya kecil Kuala Terengganu pertengahan Januari 2009 menyaksikan sekali lagi isu-isu lama dimainkan semula. Sampai bila media-media massa mahu bersama membina minda masyarakat dan membawa pembaharuan berfikir rakyat Malaysia. Yang pasti, akhbar-akhbar arus perdana masih meneruskan citarasa lama dan terus-menerus menyogok pembaca dengan cerita-cerita hiburan dan komersil keterlaluan yang sudah pasti tidak akan mencetus pembinaan minda sihat dan segar di kalangan pembaca. Sudahlahlah rakyat kebanyakan kurang membaca, berita dan cerita yang dihidangkanpun banyak mengajak pembaca ke arah yang kurang bijak. Sampai sekarang Pakcik tidak faham mengapa akhbar pada hari Ahad harganya lebih mahal? Mungkin pembaca membayar 50 sen lebih semata-mata untuk membaca dan mendapat maklumat lebih berkenaan dunia hiburan. Itu harganya. Yang pasti, akhbar Melayu pada hari Ahad paling laris. Pembaca tertunggu-tunggu untuk mengetahui artis mana yang bercerai berai, artis mana yang ditangkap khalwat dan sebagainya. Begitu sekali minda kita diasuh oleh akhbar tempatan. Jadi, azam Pakcik dalam hal surathabar ni ialah untuk meneruskan azam Pakcik sejak tahun 1998 dulu. Boikot sebahagian akhbar arus perdana. Pakcik tak rela membayar walau seringit lebih semata-mata untuk diperbodoh-bodohkan oleh sebahagian berita dan cerita yang dibawa. Dan Pakcik tak perlu untuk membaca perihal artis-artis. Mengabiskan boreh....

Apa azam Pakcik yang lain? Ehmm...Pakcik akan cuba membantu Abam mengulangkaji pelajaran menjelang UPSR pada tahun ini. Maksudnya, lebihkan masa di bilik Abam. Kalau Abam letih, Pakcik sendiri akan buat latihan UPSR itu. Kalau setakat silibus UPSR Pakcik mesti tak ada masalah punya. Kalau perlu Pakcik akan minta Abam tengok TV banyak-banyak. Biar Pakcik yang buat latihan UPSR.

Ada lagi? Pakcik akan cuba pulang awal dari pejabat. Luangkan masa bersama Makcik di sebelah petang di padang joging dan bermain tenis. Kalau Pakcik tak larat berjoging dengan Makcik, biarlah Makcik berlari seorang diri dan Pakcik akan tunggu d kedai minum Ayah Faiz sambil minum teh tarik. Rasanya Makcik OK dengan plan ini.

Yang lain? Haaa..Pakcik akan teruskan azam-azam yang belum terlaksana sepenuhnya sebelum ini, umpamanya solat di awal waktu, puasa sunat Isnin dan Khamis, membeli dan membaca buku baru sebulan sebuah buku, khatam Quran sekurang-kurang sekali setahun dan sudah pastinya mengurangkan peratusan Makcik merajuk untuk tahun baru ini. Yang last tu susah sikit... Kalau tak berjaya Pakcik akan pastikan Pakcik akan jadikan itu sebagai azam baru tahun satu lagi.