Friday, October 30, 2009

Saf

Maghrib tadi bukanlah kali pertama Pakcik berkesempatan solat berjemaah di masjid Taman Melati. Pakcik paksakan diri untuk pulang lebih awal pada malam ini dengan niat untuk sempat berjemaah di masjid itu. Berbeza sekali suasana di sini berbanding kebanyakan tempat yang lain. Masjidnya sentiasa makmur. Maghrib tadi saf lelakinya hampir separuh masjid. Bukan setakat malam Jumaat sahaja masjidnya ramai, malah pada malam-malam yang lain jemaahnya pun ramai juga. Mesti ada yang istimewa dengan ahli qariah di sini. Malam kulaih agama masjidnya penuh melimpah. Begitu tinggi kesedaran dan ilmu masyarakat di sini. Bahagianya menjadi penduduk Taman Melati. Subuhnya walaupun tidak seramai maghrib dan isyak, masih juga empat lima saf. Ramai juga. Sebelum berkumandangnya azan waktu maka suasana sekeliling akan dihidangkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci yang sungguh merdu. Pengurusan masjidnya nampak begitu teratur dan profesional. Imamnya lulusan Al-Azhar. Malah bilalnya juga seorang hafiz. Bacaan imamnya mirip Sheikh Abdul Rahman Sudais. Biarpun separuh juzuk dibaca dalam setiap rakaat pertama dan kedua solat, makmum kelihatan cukup kusyuk. Terasa suasana di Masjidil Haram ataupun di Masjid Nabawi. Berbeza sekali di kampung-kampung dan beberapa tempat lain. Masjid dan suraunya hambar dan kosong. Kalau bilalnya cuti tak mustahil tak berkumandanglah azan di masjid itu. Jika imamnya tidak hadir ke masjid, saling tolak menolaklah makmum untuk menjadi imam. Bukan atas alasan tawaduk dan merendah diri untuk tidak menjadi imam, tetapi ayat apa hendak dibaca nanti, tajwidnya bagaimana, rakaatnya entah betul entah tidak. Begitulah ketaranya perbezaan suasana, masyarakat di tempat yang berbeza. Orang kota selalunya dikaitkan dengan sebok dan kesuntukan masa. Tetapi suasana masjidnya jelas berbeza. Mungkin juga Allah memberi serba kelapangan kepada hamba-hambanya yang sentiasa kelihatan sebok dengan urusan dunia untuk mendapat luang dan ruang beribadat dengan penuh sempurna selagi hambanya itu ikhlas untuk sentiasa menghambakan diri untuk Tuhannya.

No comments: