Saturday, May 23, 2009
Masuk Rumah Baru Yang Dah Lama
Kesian Bro Shahbaz dan isterinya Dr Fatimah - penyewa rumah Pakcik di Melati Utama. Tiba-tiba Pakcik terpaksa memberi notis satu bulan untuk mereka sekeluarga mengosongkan rumah tersebut supaya Pakcik boleh menginap sempena perpindahan ke Kuala Lumpur. Bro Shahbaz bolehlah dikategorikan sebagai penyewa yang bertanggungjawab. Duit sewa tak pernah lewat. Kalau beliau ada apa-apa masalah, pasti beliau akan beritahu Pakcik. Memang tak pernah ada masalah dengan beliau. Anak tunggal mereka dilahirkan ketika mereka menyewa di situ. Usia anak mereka sudah menjangkau 3 tahun. Dr Fatimah kelihatan menangis apabila Pakcik datang mengambil kunci rumah. Sedih kerana banyak kenangan mereka sekeluarga terabadi di situ. Bro Shahbaz dan keluarga berpindah ke Kerinchi, kebetulan isterinya mendapat tawaran menyambung pelajaran di Universiti Malaya. Secara kebetulan Pakcik memberi notis kepada mereka ketika mereka juga dalam persiapan untuk berpindah ke Kerinchi. Jadi, Pakcik tidaklah nampak zalim sangat seolah-olah menghalau mereka keluar dari Melati Utama. Dr Fatimah meminta izin untuk sekali sekala membawa anak kecilnya yang bernama Syifa untuk bertandang ke Melati Utama. Hari ini sudah masuk minggu kedua Pakcik menginap di Melati Utama. Rumah sudah dicat baru dengan bantuan Paklang Polis. Tema coklat bercampur hijau pulut serimuka. Rumah masih kosong. Yang ada cuma sehelai tikar, sekeping toto dan dua biji bantal. Memang kosong sungguh. Dua minggu Pakcik di situ, tidak ada TV, tidak ada radio. 6.30 am Pakcik seudah keluar rumah. 10.00 malam Pakcik baru muncul semula ke rumah. Cuba menapak kaki dari Melati Utama ke stesen LRT sungguh memenatkan. Mungkin Pakcik perlu motosikal secondhand sebagai feeder ke stesen LRT. Motosikal macam Suzuki Pak Ku 'Ad Bukit Selambau pun tak mengapa. Atau, Yamaha tanpa mudguard serupa motor Bang Zan Ustaz Mahmud pun boleh dipertimbangkan. Bukannya apa, kata Paklang motor cantik-cantik jangan diparking di LRT sesuka hati. Ramai peminat..!Minggu depan akan masuk minggu ketiga Pakcik di sana. Mungkin akan ada sedikit penambahan di ruang tamu rumah baru itu. Bukan sofa atau set perabut mahal-mahal, cukup sekadar satu dua kerusi untuk Pakcik bertenggek di balkoni sementara menunggu mata mengantuk sambil menikmati keindahan Kuala Lumpur di waktu malam.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment