Friday, February 6, 2009

Lompat

Dalam banyak-banyak sukan Pakcik cukup tak suka sukan lompat. Apa saja sukan yang memerlukan kekuatan dan kepandaian melompat Pakcik akan mengelak. Walaupun Pakcik pernah menang pingat gangsa lompat jauh semasa sukan sekolah dulu, itu bukan bermakna sukan lompat jauh menjadi kegemaran Pakcik. Pakcik dapat tempat ketigapun disebabkan peserta sebelum itu dibatalkan. Maka dapatlah pingat gangsa dalam sukan yang Pakcik langsung tak minat. Acara lompat tinggi adalah satu lagi sukan yang Pakcik cuba elak sedaya mungkin. Sudahlah kena lompat melepasi palang, nak melentikkan badan macam ulat belencas itupun satu masalah yang amat besar bagi Pakcik. Bukan setakat acara lompat di padang saja yang Pakcik benci, seluruh keturunan acara lompat Pakcik benci. Kalau main bolatampar Pakcik selalunya akan memilih untuk membuat pukulan spike di bawah jaring supaya tak perlu melompat. Pakcik cuba juga bermain basketball tapi selepas diarah oleh Cikgu Habeeb untuk melompat semasa melakukan shooting dan rebound Pakcik terus tak pergi berlatih selepas itu. Alasannya, Pakcik tak suka melompat. Punca Pakcik tak terpilih mewakili sekolah dalam sukan bolasepak pun boleh jadi turut disebabkan keengganan Pakcik melompat ketika melakukan tandukan. Skill menggelecek bola Pakcik rasanya lebih kurang macam Husin Jaafar saja kalaupun tak sehebat Harun Tok Mat Ichek Bukit Selambau. Jadi, apa saja yang bersangkut paut dengan lompat Pakcik tak suka. Phobia kata orang Jerman. Pakcik tak tau mengapa. Mungkin kajian PhD boleh dibuat untuk mengkaji perkara ini. Oleh itu apabila terbaca isu lompat melompat ini semacam menjadi rutin orang-orang politik, Pakcik rasa cukup meluat. Kalau melompat itu disertakan dengan iltizam yang jelas demi kesejahteraan dan kebaikan agama, rakyat dan negara sudah tentu sesuatu yang mungkin boleh diterima umum. Tetapi melompat sana dan melompat sini dengan penuh tanda tanya, tanpa menyedari rakyat terbanyak mencemek muka meluat adalah suatu tindakan yang buruk dan busuk. Rupa-rupanya phobianya Pakcik dengan sukan melompat tak jauh bezanya dengan meluatnya Pakcik dengan lompat-melompat politik yang berlaku sehari dua ini. Apa juga alasan orang politik, rakyat terbanyak akan sentiasa menilai sikap, pendirian dan keikhlasan mereka dalam perjuangan.

2 comments:

Si Sejuk said...

1st time angah dengar penyakit phobia lompat.. haha

hbs tu hnya permainan batu seremban, dan congkak saja yang tinggal untuk pakcik kerana permainan tersebut tak perlu melompat. hehe

PakcikMat said...

Penyakit phobia lompat ni sebenarnya amat terkenal di kalangan orang-orang yang tetap pendirian macam Pakcik. Sebab tu masa Pakcik score exam dulupun Pakcik relax saja, tak sikit pun terlompat-lompat.