Wednesday, February 18, 2009

144 Kampung Klinik

Sejak ketiadaan maktok dan tokwan Pakcik sentiasa hiba setiap kali pulang menjenguk rumah pusaka 144 Kampung Klinik. Keluarga kehilangan tokwan sewaktu arwah tokwan pulang dari menghantar Pakcik balik ke asrama dan terlibat dalam kemalangan berdekatan Tye Aik. Pakcik kehilangan maktok ketika Pakcik sedang dalam persiapan minggu terakhir menghadapi peperiksaan tahun akhir di Leeds. Saat menerima panggilan telefon daripada arwah Paklong mengatakan kepergian maktok menyahut panggilan Ilahi, Pakcik hampir pitam. Esoknya Pakcik terus berjumpa dekan fakulti memohon cuti beberapa hari untuk pulang ke kampung. Memang sudah terlewat untuk menatap wajah maktok tetapi naluri Pakcik seakan-akan mendesak untuk pulang walaupun tarikh peperiksaan cuma tinggal seminggu. Cukup sekadar menziarahi pusara maktok dan menatap rumah peninggalan maktok yang meninggalkan begitu banyak kenangan untuk Pakcik dan ahli-ahli keluarga yang lain bersama maktok dan tokwan. Pakcik pulang, walaupun cuma untuk 4 hari! Berkat simpanan dan tabungan Pakcik dan juga sumbangan kawan-kawan sekuliah Pakcik tetap pulang. Selepas 4 hari Pakcik kembali ke Leeds dan terus ke dewan peperiksaan keesokan harinya. Alhamdulillah, berkat doa arwah maktok dan keluarga, Pakcik muncul antara 3 pelajar terbaik untuk fakulti kejuruteraan kimia Leeds University. Siapa sangka? Mujur Pakcik pulang walaupun cuma dapat menatap wajah ahli keluarga, pusara maktok dan rumah maktok, itu sudah cukup memberi ketenangan bagi Pakcik menghadapi final year exam tersebut. Rumah pusaka 144 Kampung Klinik menyimpan cukup banyak kenangan untuk dikenang. Semua ahli keluarga membesar di situ. Walaupun Paklong, Makngah, Paklang, Paknjang dan Makndak dilahirkan di kampung Perak, mereka lama membesar dan dewasa di 144 Kampung Klinik. Pakcik dan Maksu khabarnya di lahirkan dan dibidankan di rumah pusaka itu. Walaupun tempoh dewasa Pakcik banyak dihabiskan di asrama dan di luar kampung namun kenangan zaman sekolah rendah dan sesekali pulang ke kampung ketika cuti sekolah dan cuti semester cukup banyak mencatat kenangan indah. 144 Kampung Klinik asalnya dibina dan diilhamkan oleh arwah toknek yang yang bercirikan rekabentuk rumah Melaka. Maklumlah, asal-usul ayah tokwanpun katanya dari Tanjung Keling, Melaka. Rumah berbumbung runcing, bertangga batu ala istana Mansur Syah dan berserambi saling tak tumpah umpama rumah Hang Tuah dalam filem lama P Ramlee. Berpagarkan deretan pokok nyior di bahagian depan dan pokok cempedak dan rambutan di sebelah belakang cukup untuk menyatakan itulah ciri-ciri rumah kampung yang cukup ideal. Sebelum 144 Kampung Klinik diperkenalkan dengan kemudahan elektrik, lampu gasoline cap rama-rama menjadi penerang di malam hari. Seperti menjadi rutin arwah tokwan mengepam lampu gasolin setiap petang sebelum bergerak keluar mencari rezeki sebagai jaga di Tye Hong. Menjadi kewajipan Pakcik dan kerabat yang lain untuk mempastikan bekalan minyak tanah cukup untuk menyalakan beberapa pelita untuk menerangi bahagian dapur dan mungkin perlu untuk mencerahkan jalan ke tandas cangkung di belakang rumah dan juga untuk Makngah, Paklang, Paknjang, Pakcik, Makndak dan Maksu mengulangkaji pelajaran di waktu malam. Di tepi sebelah kanan maktok dan tokwan bertemankan rumah Bangcark dan Kak Zizah yang cukup berpekerti. Cukup mulia Bangcark selaku anak menakan maktok. Di sebelah kiri berjirankan Kak Jaq dan bondanya Tok Chah. Sekali Tok Cah latah, boleh berderai cawan gelas di rumah. Di belakang pulak berjirankan Bang Ark (nota: ayah kepada Ani Putt marka lama). Bang Ark tak lama di situ sebelum berpindah ke Felda Lubuk Merbau. Di tepi sedikit rumah Bang Cha bomo yang boleh diumpamakan seperti kaum keluarga sendiri. Rumah Pak Ku 'Ad di belakang sedikit berhampiran rumah Pak Yob Mak Kiah. Cukup meriah suasana ketika itu. Umpama keluarga besar. 144 Kampung Klinik menjadi pusat tumpuan. Cina bergaduhpun dicari tokwan. India berkelahi di Tye Sengpun dicarinya tokwan. Bahkan, kes curi lembu di Kuala Sin pun memerlukan nasihat tokwan. Tokwan umpama ADUN tak rasmi Bukit Selambau. Jika ketika itu N25 BS sudah wujud, tak mustahil tokwan menang tanpa bertanding. Pakcik yakin, atas tiket apapun tokwan bertanding, tokwan insyaallah menang bergaya. Tokwan umpama simbol wakil rakyat sejati. Menjadi sebenar-benar hamba rakyat. Pusat rujukan penduduk terbanyak, dan menjadi penyatu perpaduan rakyat dan penyubur amalan berpolitik yang sebenar dan tulin. Semoga Allah membalas segala jasa tokwan yang amat besar kepada kami dan kepada semua rakyat Bukit Selambau yang mengenali arwah tokwan dan 144 kampung Klinik...

6 comments:

biado ho said...

memangpun 144 kg kelinik penuh dgn kenangan..makngah bila balik sana rasa hiba..teringat mcm cerita pakcik
rumah tu sentiasa dikunjungi jiran2 maktok/tokwan..kdg2makngah dan makndak merungut tak larat nak buat kopi dan basuh cawan..masa tu budak2 manalah tau kunjungan jiran tetangga mambawa rezeki..

biado ho said...

memangpun 144 kg kelinik penuh kenangan..rasa hiba jugak makngah kalu balik ke sana...teringat cerita pakcik tu, jiran maktok di belakang rumah bang ark, setelah dia pindah ke Felda Lubuk Merbau,jiran baru pulak mai..kakyah bomo..anak dia syukran selalu main di laman rumah 144..dia akan pangge maktok makteh..makteh..ayam makteh mati bawah 'yau'(reban ayam/lau ayam)..lucu bila ingat semua tu..bahagia rasa masa tu..

silmisulaiman said...

dengaq cerita 144 tu orang umno nak sewa PRK nie, he he. Tercemar lah kesucian 144 tu he he. salam

http://silmisulaiman.com

biado ho said...

sebagai anak2 maktok/tokwan.. kami terpaksa menjaga banyak hati-hati jiran tetangga...kerana kata tok2 guru berbuat baik dgn jiran ibubapa kita juga diberikan pahala untuk mereka di sana...wallahualam..

shahirah said...

apa kata pakcik balik buat 144 kg klinik tu banglow...TERATAK SINGGAHSANA...mesti besaq punya...nanti kita semua pakat kumpul ramai2 kat situ...buat aktiviti keluarga...

Umi Bainun said...

x adillah bagi pak cik sorang buat rumah kat situ...pak dgn mak menakan lain pun buleh buat jugak kan...p cik kata kat kedah x dak kilang minyak payah jgk kalau buat rumah besaq2 kat sana tapi x dapat duduk...