Thursday, August 28, 2008
Osman Store - Januari 1985
Kebelakangan ini terasa semacam ada semangat baru untuk menjayakan majlis berbuka puasa untuk rakan-rakan MatJiwa89. Pernah diluahkan hasrat untuk anjurkan program sebegini sejak dulu lagi tapi tak pernah menjadi kenyataan. Mungkin sokongan kuat rakan-rakan lain membantu untuk menjadikan perjumpaan besar ini berjaya. Bukan mudah untuk mengumpulkan kembali rakan-rakan yang masing-masing sebok di merata tempat mencari rezeki. Lebih-lebih lagi setelah berpisah hampir 20 tahun selepas SPM 1989! Bila membelek kembali gambar-gambar lama yang dipaparkan oleh rakan-rakan di dalam MatJiwa89 face book cukup menggelikan hati. Maklumlah gambar-gambar lama sekitar 85-89. Rambut masih banyak. Muka rasanya tak banyak berubah. Cuma gambar sekitar form 1 dan form 2 agak sukar dikenal hatta oleh anak-anak sendiri. Mendaftar diri di MatJiwa pada awal Januari 1985 cukup nostalgik. Masih segar di ingatan tak lelap mata sepanjang malam sebelum berangkat ke sekolah baru. Semua peralatan asas seperti dinyatakan di dalam surat tawaran sudah siap dibeli. Kasut hitam sudah awal-awal lagi dibeli di Kedai Osman stesen teksi. Kasut hitam dipilih sendiri oleh tokwan. Design yang agak lama tapi tetap nice looking. Tokwan sengaja pilih saiz yang agak besar untuk Pakcik. Tahan lama kata tokwan. Pakcik lebih berkenan satu design lain tetapi apabila terpandang tag harga pada kasut itu yang mencecah RM25, hasrat itu dilupakan begitu saja. Walaupun begitu kasut hitam yang tokwan pilih tetap baik dan harganya lebih murah - RM19 sepasang. Barang-barang lain seperti sudah diketahui Osman Store. Tanpa merujuk kepada list barang, Osman Store sudah mencapai beberapa barang yang diperlukan. Dah ramai budak baru Sekolah Sains datang beli di sini katanya. Tokwan buat lawak - kita beli seluar pendek sajalah. Pakcik protes, zaman sekarang orang dah tak pakai seluar pendek. Aurat. Tokwan senyum. Melawak jugak tokwan. Susah nak dengar tokwan melawak. Jumlah harga perkakas sekolah dari Osman Store mencecah RM100. Timba, berus, sabun kita beli di pekan Khamis bisik tokwan. Singgah di Restoran Majidia untuk menjamah roti canai dan teh tarik. Tokwan minta kira berapa yuran yang mesti dibayar semasa pendaftran esoknya? Banyak jugak - sekitar RM200. Itu belum dicampur duit buku tulis dan sebagainya. Cadar putih wajib ke? Pakcik amat faham bila soalan sedemikian disoal tokwan. Beli kemudianpun tak mengapa. Nanti kita singgah di Sekolah Sains tanya kerani pejabat barang apa yang kita boleh beli kemudian. Hampir menitis air mata Pakcik. Airmata ditahan sambil menelan roti canai Majidia yang tiba-tiba terasa kurang garam. Tak apalah ayah, esok saya tanya sendiri. Hari ini tak payah singgah. Singgah di kedai syarikat untuk melengkapkan peralatan yang lainnya. Sabun popinjay 3 ketul, berus basuh, sabun basuh dan sandal asadi untuk prep malam. Bila daftar sekolah, tanya arwah Bang Chik kedai? Esok. Belajar rajin-rajin sambil menghulur RM10 ke dalam poket Pakcik...Tak terlelap mata Pakcik malam itu. Terkenangkan suasana sekolah baru, kasut hitam Osman Store dan juga yuran pendaftaran yang perlu dibayar esoknya. Tak pasti samada maktok dan tokwan dapat tidur nyenyak atau tidak malam itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
mamang masa tu susah sgt terasa no..tapi susah2 keluarga kita semua anak2 mak/ayah sekolah..tak dak yg tercicir..walaupun masa tu hanya pakcik yg menyerlah..alhamdulillah..terima kasih utk.tok/tokwan..yg berpandangan jauh..walaupun depa tak berbelajaran..
sungguh terharu dengar kisah hang.. kita serupa, sama2 budak kampung yg dipilih ke sekolah sains mat jiwa tahun 85.. ibubapa kita berkorban utk kebahagiaan kita.. kita pula berusaha keras agar anak2 kita tak melalui penderitaan/kesusahan yg telah kita alami.. pendi
aku dah dekat-dekat nak lupa dah cerita Osman Store tu, tapi cerita hang buat aku ingat balik banyak benda.
Post a Comment